7500 di Stadium MBPJ

7500 dijangka dapat tonton aksi Selangor di MBPJ

Sedang kempen Piala Malaysia 2021 berehat sebentar bagi memberi laluan kepada pasukan kebangsaan, penyokong-penyokong mendapat satu lagi berita gembira. 7500 di Stadium MBPJ adalah angka yang mungkin dapat menyaksikan tiap-tiap perlawanan Selangor FC dalam baki saingan ini, menerusi pengumuman terbaru Malaysian Football League (MFL).

Kredit foto utama Selangor FC

Dalam siaran media yang dikeluarkan pada pagi Selasa, Presiden MFL Dato’ Ab Ghani Hassan menyatakan yang kelab-kelab boleh membenarkan penyokong masuk ke stadium mulai minggu ketiga peringkat kumpulan dengan kapasiti tertentu.

Menurut pengumuman ini, kapasiti ini adalah berdasarkan fasa semasa kawasan stadium itu seperti yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai sebahagian dari langkah-langkah mengekang penularan wabak Covid-19.

Ini penjelasan MFL:

“Bagi negeri yang berada dalam Fasa 2 dibenarkan 20 peratus atau 5,000 penonton (yang mana lebih rendah) diikuti Fasa 3; 30 peratus atau 10,000 penonton (yang mana lebih rendah) dan Fasa 4; 50 peratus atau 20,000 penonton (yang mana lebih rendah) daripada kapasiti venue yang digunakan untuk hari pertandingan.”

Ini bermakna yang berkemungkinan 7500 di Stadium MBPJ adalah angka yang akan dibenarkan masuk oleh Selangor FC, berdasarkan kapasiti sebenar gelanggang ini (25000) dan status semasa Lembah Klang sebagai kawasan fasa tiga.

Namun MFL juga mengulangi syarat-syarat yang hanya penyokong 18 tahun ke atas yang lengkap dos vaksin dibenarkan menghadiri perlawanan, di samping tiada aktiviti makanan dan minum yang dibenarkan di dalam stadium.

Di samping itu, kelab-kelab juga boleh membenarkan penyokong mereka hadir ke stadium bagi perlawanan-perlawanan persahabatan yang diadakan dalam tempoh rehat Piala Malaysia ini, dengan syarat-syarat yang sama di atas.

Menarik juga untuk disaksikan jika penurunan jumlah kes-kes baru Covid-19 di seluruh negara kini akan membolehkan Lembah Klang sempat diletakkan dalam fasa empat oleh MKN, sebelum kempen bersambung pada 29 Oktober ini. Jika ini berlaku, ia bermakna jumlah penyokong yang akan dibenarkan berada di laman Gergasi Merah akan naik ke 12500.

Namun sebelum kita mengharapkan jumlah yang lebih tinggi, perlu ditanyakan sama ada penyokong Selangor sudah memasang niat untuk kembali ke stadium menyokong pasukan dan menghabiskan kesemua tiket yang akan dijual!

Follow laman Facebook kami untuk mendapatkan perkembangan terbaru Selangor FC

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.