Kem latihan seterusnya Malaysia akan disertai Afro, Ajmal

Dua pemain muda Selangor dapat panggilan pertama Harimau Malaya

Menerusi senarai panggilan pasukan kebangsaan Malaysia yang dikeluarkan pada Khamis, 23 September, dua pemain Selangor FC dilihat mendapat ‘call-up’ pertama mereka; iaitu Afro, Ajmal, ataupun nama sebenar mereka Sharul Nazeem Zulpakar dan Mukhairi Ajmal Mahadi.

Kredit foto utama Persatuan Bolasepak Malaysia

Di samping itu, turut mendapat panggilan pertama adalah pemain pertahanan kanan Selangor yang kini dipinjamkan ke Penang FC, Quentin Cheng.

Mereka ditemani pemain-pemain Selangor yang sudah pun bertaraf pemain kebangsaan; pemain pertahanan Syahmi Safari dan penjaga gol Khairulazhan Khalid.

Biarpun baru berusia 21 dan 19 tahun masing-masing, Sharul yang merupakan ‘centreback’ dan Ajmal pemain serangan merupakan pemain-pemain penting Gergasi Merah musim ini. Sharul telah membuat 14 penampilan dalam Liga Super, manakala Ajmal dengan 20. Kedua-duanya berjaya menjaringkan satu gol dalam saingan liga.

Sementara itu di Penang, Quentin yang berusia 21 tahun turut memegang tanggungjawab besar biarpun ini merupakan musim pertamanya di divisyen satu Malaysia. Dia bermain dalam kesemua 22 perlawanan liga skuad Harimau Kumbang, untuk tampil sebagai pemain dengan jumlah penampilan dan minit terbanyak musim ini. Bukan itu saja, pemain Malaysia-Australia ini telah melakukan sekurang-kurangnya lima bantuan gol dan membantu Penang mencabar bagi tempat kedua liga.

Ketua jurulatih Malaysia, Tan Cheng Hoe dilihat banyak mengenengahkan banyak muka baru dalam senarai kali ini. Di samping Sharul, Mukhairi dan Quentin, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi (PJ City), Al Hafiz Harun (Penang) dan Hakimi Abdullah dari Terengganu FC turut berpeluang mendapat penampilan pertama bagi pasukan kebangsaan. Senarai penuh boleh dibaca di sini.

Latihan berpusat kali ini, yang dilakukan bagi persediaan bagi dua perlawanan persahabatan, akan berjalan mulai 1 Oktober. Pada 6 Oktober Harimau Malaya akan berdepan Jordan, dan tiga hari kemudiannya Uzbekistan, dengan dua-dua perlawanan dijadual berlangsung di Amman, Jordan.

Perlawanan-perlawanan persahabatan ini seterusnya adalah bagi persediaan Piala AFF 2020 (tertangguh dari tahun lalu akibat wabak Covid-19) pada bulan Disember, dan juga pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2023 yang dijadualkan berlangsung tahun depan.

Selamat berjaya diucapkan buat Afro, Ajmal, Quentin, Azhan dan Syahmi.

Baca juga: Kisah stadium Selangor yang hilang dalam Perang Dunia Kedua

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.