Alex Agyarkwa

Agyar bakal dapat ‘debut’ Liga Super malam ini?

Selangor FC bakal bertemu Sabah FC pada malam Ahad, 5 September, dengan seorang lagi pemain dilihat berpeluang cerah mendapat penampilan pertamanya dengan pasukan utama dan di Liga Super. Pemain Selangor 2, Alex Agyarkwa dilihat telah turut menyertai persiapan pasukan utama menjelang perlawanan liga minggu ke-21 ini.

Dalam video-video dan foto yang dimuatnaik di laman sosial Gergasi Merah baru-baru ini, pemain tengah dari Ghana ini dilihat turut menyertai latihan akhir dengan pasukan utama, dan juga mengikuti penerbangan mereka ke Kota Kinabalu.

Sudah pasti ini merupakan satu perkembangan yang minat ditonton penyokong-penyokong Merah Kuning. Musim ini saja, enam orang pemain-pemain muda Selangor telah diberi amanah melakukan penampilan pertama dalam Liga Super, dan Alex berkemungkinan bakal menjadi yang ketujuh, sama ada dalam kesebelasan utama atau pun dari bangku simpanan. Ini belum lagi dikira pemain-pemain muda Selangor yang telah mendapat ‘debut’ liga teratas pada musim-musim lalu.

Alex Agyarkwa yang berusia 21 tahun merupakan seorang dari tiga pemain yang didatangkan dari kelab divisyen dua Ghana, Accra Lions musim ini untuk menyertai pasukan simpanan di Liga Premier terlebih dahulu. Walaupun rakan-rakannya menyertai Gergasi terlebih dahulu pada awal musim, Alex hanya menyusul semasa jendela perpindahan pertengahan musim.

Seorang lagi pemain Ghana ini, pemain pertahanan kiri Jordan Ayimbila telah membuat 15 penampilan Liga Super musim ini. Setelah dihantar bermain semula dengan Selangor 2 untuk dua perlawanan sebelum ini, Jordan dilihat kembali berlatih dengan pasukan utama dan turut terbang ke Sabah. Mereka berdua dilihat rapat bak ‘bff’ dalam foto-foto dan video tadi.

Sementara itu, seorang lagi pemain dari Ghana ini, penyerang, George Attram masih belum membuat penampilan dengan pasukan utama biar pun telah menjaringkan beberapa gol di Liga Premier. Ini dapat difahami kerana prestasi tahap ‘OP’ yang ditunjukkan Ifedayo Olusegun, yang kini turut bersaing bagi anugerah kasut emas liga.

Perlawanan divisyen dua tidak berlangsung pada hujung minggu ini, jadi ada kemungkinan yang lebih ramai pemain-pemain muda turut dibawa dan bakal mendapat penampilan pertama Liga Super.

Yang menariknya, dalam video-video ini, satu susuk tidak kelihatan. Pemain tengah bertahan, Manuel Konrad tidak dilihat sama ada dalam latihan pasukan utama mahu pun dalam penerbangan, bila mana prestasi semasa bekas pemain pasukan kebangsaan Jerman bawah umur ini dikritik teruk dan dilihat langsung tidak meyakinkan.

Baca juga: Preview: Sabah FC lwn Selangor FC

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.