Analisis Selangor lwn Kuching

Apa yang kita lihat dalam pertemuan Selangor-Kuching

Gergasi Merah menyambung kempen Piala Malaysia dengan kemenangan bergaya 5-1 ke atas lawan dari Liga Premier. Analisis Selangor lwn Kuching ini mengupas beberapa aspek perlawanan yang menghadirkan kemenangan kedua buat anak-anak buah Karsten Neitzel dalam Kumpulan B Piala Malaysia.

Kredit foto Selangor FC

‘Debut’ meyakinkan Alex

Pemain pasukan simpanan Alex Agyarkwa diberikan penampilan pertama bersama pasukan utama dalam perlawanan ini, dan dia membalas keyakinan Karsten dengan kelebihan yang dimilikinya.

Pada awalnya pasukan pelawat menyukarkan Gergasi melalui tekanan tinggi di bahagian tengah, tetapi pemain tengah dari Ghana ini menggunakan kelicikan ‘dummy’ dan ‘feint’ untuk melepaskan diri dan seterusnya membawa bola ke atas.

Berjaya menghasilkan aksi baik dalam ‘debut’ ini, dia direhatkan dalam separuh masa kedua, dan ini sudah pasti bukan aksi terakhirnya dalam kempen ini.

‘Abang long’ Safuwan lindungi adik-adik barisan pertahanan

Setelah dua musim bersama Selangor, Safuwan Baharudin hanya kerap digunakan sebagai pemain pertahanan, menyebabkan yang kebolehannya sebagai ‘utility player’ sedikit dilupakan.

Menentang Kuching, Karsten menurunkan tiga pemain berstatus muda di barisan pertahanan; Sharul Nazeem, Shivan Pillay dan Jordan, yang dibantu pertahanan kanan berpangkat ‘senior’ A. Namathevan. Sudah pasti mereka sekali lagi memerlukan bimbingan pemain berpengalaman, peranan yang sudah biasa digalas pemain antarabangsa Singapura ini. Tetapi tidak seperti sebelum ini, beliau memimpin kerja-kerja bertahan dari posisi ‘central defensive midfielder’, peranan yang selalu digalasnya semasa di PDRM dan Pahang dahulu.

Dia melakukan tugas ini dengan baik, apatah lagi dapat turun ke bawah sebagai pertahanan tengah ketiga apabila situasi meruncing. Hasilnya, Gergasi Merah hanya dibolosi satu gol dari sepakan penalti. Sudah pasti keberkesanan Safuwan semasa menggalas tugas ini dapat membawa kelegaan sementara Oliver Buff dan Manuel Konrad masih belum dapat beraksi akibat kecederaan.

Kerja keras hasilkan kemenangan

Mungkin sedikit klise untuk menyifatkan yang kemenangan ini terhasil dari usaha gigih, tapi itulah hakikatnya. Bilamana pemain-pemain Kuching tersusun padat di bahagian pertahanan dan tengah bagi memastikan mereka dapat mencuri mata dari pertemuan ini, Gergasi kekal tenang mencari ruang dan memberi tekanan kepada gawang gol lawan. Dua pemain; Jordan Ayimbila dilihat menampilkan kerja keras dalam mencari gol pendahuluan, mengejar bola dan menekan pemain-pemain pertahanan dan ia berhasil menjelang jam menandakan sejam perlawanan berlangsung.

Pemain pertahanan kiri Jordan Ayimbila berjaya memenangi bola di luar kotak penalti lawan, dan menolaknya kepada Alex sebelum berlari ke posisi di sempadan kotak. Secara kebetulan bola tertampan ke laluannya, dan dia menghantar lintangan yang rendah, tetapi sedikit dekat dengan penjaga gol lawan. Namun Danial Asri tidak berputus asa dan berlari merapati gawang gol, dan tindakannya membuahkan hasil. Hantaran Jordan tadi gagal ditangkap kemas Iqbal Suhimi, dan Danial menjolok bola muntah itu ke dalam gawang bagi membawa pasukan tuan rumah kembali di hadapan.

Bagaimanapu, penyerang ini belum habis. Hanya selang beberapa minit, dia mengejar hantaran jauh dari bawah, dan usaha ini menyebabkan dia dibentes pemain pertahanan Kuching untuk dihadiahkan sepakan penalti yang kemudiannya disudahkan Safuwan.

Ketiadaan Dayo beri peluang penyerang lain bersinar

Salah satu penyumbang kejayaan mesin pencetak gol Selangor Ifedayo Olusegun adalah kecergasan tinggi beliau, yang membolehkan dia tampil dalam kesemua perlawanan pasukan musim ini. Namun begitu, kecederaan ringan yang dialaminya dalam aksi-aksi persahabatan semasa tempoh piala berehat menyebabkan dia terpaksa diketepikan pada Sabtu.

Amat baik sekali untuk melihat yang penyerang-penyerang tempatan tampil menggalas tugas penyerang utama dengan baik. Danial menukar cara permainannya yang sedikit statik pada separuh masa pertama untuk menjaringkan dua gol, di samping terlibat dalam menghasilkan dua lagi gol.

Shahrel Fikri pula yang kembali beraksi buat kali pertama sejak cedera panjang dari bulan Mei menunjukkan sengatnya dari awal dia dimasukkan pada separuh masa kedua. Mendapat semangat sorakan penyokong yang gembira melihat dia kembali, dia kerap menyerang barisan pertahanan Kuching dengan larian-larian dan gelecekan. Usaha ini akhirnya membolehkan dia membantu seorang lagi penyerang tempatan, Sean Selvaraj menghasilkan gol kelima Selangor malam itu.

Diharapkan yang Chang dan Eky akan terus menunjukkan peningkatan dalam perlawanan-perlawanan seterusnya dan analisis Selangor lwn Kuching ini bukan kali terakhir nama mereka disebut, sekaligus membuktikan yang pemburu-pemburu gol tempatan masih ada tempat dalam liga Malaysia.

1,400 saja?

Sedikit mengecewakan bila mengetahui hanya 1,400 penyokong hadir ke Stadium MBPJ, biar pun kapasiti yang dibenarkan dalam tempoh wabak Covid-19 adalah 4,500. Mungkin atas faktor tidak boleh makan dan minum dalam stadium, penyokong berat untuk hadir. Namun di sebalik jumlah yang kecil ini, Karsten masih berterima kasih dengan ‘sumbangan’ penyokong.

“Mereka (penyokong) begitu cemerlang malam ini bagi kami. Kehadiran penyokong di stadium memberikan perasaan yang berbeza bagi kami, staf dan saya. Contohnya reaksi yang mereka berikan apabila Kuching mendapat penalti, memang cemerlang.”

Kalau seribu lebih saja penyokong setia sudah mampu mengagumkan jurulatih dan membantu pasukan, bayangkan jika kapasiti penyokong di stadium penuh. Pasti pasukan kesayangan kita lebih ampuh. Ayuh penyokong, hangatkan suasana perlawanan seterusnya Selangor di Stadium MBPJ, menentang Terengganu FC Ahad depan.

Ingin bantu kami bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.