Analisis Selangor lwn Perak

Apa yang kita lihat dalam pertemuan Selangor-Perak

Selangor FC memulakan kempen Piala Malaysia 2021 dengan langkah kanan setelah menumpaskan Perak FC 1-0 di Stadium MBPJ pada Ahad, 26 September, namun persembahan Gergasi Merah menggusarkan. Kami senaraikan beberapa perkara penting yang diperhatikan dari analisis Selangor lwn Perak.

Kredit foto utama Malaysian Football League

Rileks dulu, Ayim

Dalam artikel ‘Apa yang kita lihat’ bagi perlawanan Selangor melawan Melaka sebulan lalu, penulis mempersoalkan keputusan mengenepikan pemain pertahanan kiri, Jordan Ayimbila yang disifatkan sudah bermain secara matang. Namun masalah biasa pemain Selangor yang pantang dipuji sudah mula menjangkitinya dalam dua perlawanan terbaru.

Menentang Perak, pemain berusia 20 tahun ini dilihat membahayakan pasukannya sendiri pada ketika mereka sedang goyah selepas Oliver Buff terpaksa digantikan. Pada satu ketika, apabila cuba melarikan bola, dia kehilangan bola dalam kawasan sendiri dan situasi itu hampir-hampir menyebabkan gol pasukan pelawat.

Apabila membantu serangan pula, pemain dari Ghana ini tidak dapat bergabung baik dengan pemain serangan di sayap kiri.

Kita faham yang dia seorang pemain muda yang ingin menunjukkan kelebihannya dari segi kelajuan dan stamina, tetapi ciri-ciri individu ini tak akan dipedulikan jurulatih jika tidak dipimpin ketenangan dan pembacaan permainan yang baik. Harapnya ada anggota barisan kejurulatihan atau pemain-pemain senior yang dapat membantu Ayim supaya tidak tergopoh-gapah.

Safuwan tunjukkan kepimpinan melalui teladan

Menyebut mengenai tunjuk ajar pemain-pemain senior, ini paling jelas dalam permainan ‘centreback’ dan kapten pasukan malam itu, Safuwan Baharudin. Bermain dengan pertahanan kiri muda, ‘CDM’ muda (Shivan Pillay) dan dua pemain pertahanan yang bukan pilihan pertama (Namathevan Arunasalam dan Ashmawi Yakin), pemain kebangsaan Singapura ini dipaksa bekerja keras untuk menidakkan percubaan-percubaan pasukan Seladang.

Hasilnya, usaha pemain ini berjaya membantu penjaga gol Khairulazhan Khalid mengekalkan ‘clean sheet’ dan memenangi perlawanan.

Di samping itu, usahanya membuktikan kebenaran apa yang dikata Syahmi Safari dalam sebuah video yang dimuatnaik kelab baru-baru ini. Menurut pemangku jawatan ketua pasukan itu, salah satu punca masalah Selangor yang kerap melepaskan gol di saat akhir perlawanan adalah ketiadaan pemain berpengalaman seperti Safuwan akibat kecederaan. Penulis pada mulanya memandang sinis penjelasan itu yang kedengaran seperti jawapan tangkap muat, tetapi selepas melihat persembahan Safuwan malam tadi, ia membuktikan yang Syahmi bukan sekadar cakap kosong. Khidmat pemain-pemain berpengalaman memang membawa perbezaan dalam persembahan pasukan Selangor yang kerap berbangga kerana banyak menurunkan pemain muda.

Kepentingan Oli ditunjukkan melalui ketiadaan, 2.0

Penyokong Selangor akhirnya telah menyedari fungsi Oliver Buff selepas perlawanan menentang PJ City tempoh hari. Menentang Perak, dia kembali ke kesebelasan utama, tapi hanya bertahan tak sampai 30 minit sebelum kembali cedera dan digantikan.

Serta-merta permainan Gergasi Merah merudum dan mereka hilang keyakinan, yang hampir-hampir menyebabkan bolos.

Nasib baiklah mereka berhadapan Perak dan bukannya pasukan yang lebih baik, dan dapat mengelak dari melepaskan gol. Di samping itu, pemain-pemain gantian di separuh masa kedua juga menjalankan tugas dengan baik untuk kembali mengancam pintu gol pasukan pelawat. Akhirnya gol tunggal kemenangan dapat dicari dan Selangor mengelak dari dihukum akibat ketiadaan Oliver Buff.

Namun persoalan kembali timbul mengenai kesediaan pemain-pemain Selangor secara fizikal. Sukar dipercayai yang tempoh rehat tiga minggu masih belum mencukupi untuk memulihkan Oli yang dilihat hanya cedera ringan, dan jika dia tidak bersedia, mengapakah dia diturunkan?

Wan Zack & Hakim lwn Danial & Ajmal

Perlu diakui yang adalah sedikit tidak adil untuk memperkatakan mengenai keputusan ini, dalam analisis Selangor lwn Perak, selepas perlawanan tamat.

Wan Zack Haikal dan Nor Hakim Hassan diberi kepercayaan memulakan perlawanan, tetapi mereka tidak cukup tajam, tidak memberi impak dan gagal membantu Ifedayo Olusegun secara baik dalam separuh masa pertama. Hanya selepas tenaga muda Danial Asri dan Mukhairi Ajmal (dan Sean Selvaraj juga) dimasukkan barulah Selangor kembali mengancam dan seterusnya menerobos benteng lawan lalu mendapat gol penalti.

Tak tahulah bagaimana ketua jurulatih Karsten Neitzel membuat keputusan, tapi jelas yang Danial dan Ajmal adalah pasangan yang lebih baik berbanding Wan Zack dan Hakim.

Mungkin Karsten merancang supaya tenaga muda ini akan masuk bersaing dengan pertahanan Perak apabila mereka kepenatan, tapi kita pasti lebih gemar jika pemain-pemain yang lebih efisien ada dari awal dan membantu pasukan mendapat jaringan dalam separuh masa pertama lagi.

Cara bertahan terbaik

Satu yang positif dilihat dalam perlawanan ini adalah keengganan Selangor untuk memadatkan barisan pertahanan dan bermain secara bertahan selepas menjaringkan gol dengan perlawanan berbaki 10 minit. Mereka masih lapar untuk menyerang dan menambah jaringan, dan hanya dikecewakan hantaran-hantaran akhir mereka sendiri yang tidak mengancam.

Namun dari sisi lain, dapat dilihat mengapa ini adalah cara bertahan yang paling baik, bagi sebuah pasukan yang kerap bocor, dan acapkali juga melepaskan gol dalam tempoh 15 minit terakhir perlawanan. Lawan tak dapat menyerang kita jika bola sentiasa dalam kawalan kita.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.