Safuwan Baharudin idam Piala

Apa yang kita lihat dalam pertemuan Selangor-Terengganu

Anak-anak buah Karsten Neitzel diajar buat kali keempat musim ini oleh Sang Penyu, setelah ditumpaskan 3-1 di laman sendiri dalam pertembungan Kumpulan B Piala Malaysia mereka pada malam Ahad. Analisis Selangor lwn Terengganu ini akan meneliti beberapa perkara yang dapat dilihat dari kekalahan ini, yang bagaimanapun tidak mengubah kelayakan Selangor ke suku akhir, yang telah pun disahkan awal-awal lagi.

Kredit foto Selangor FC

Debut goyah George

Penyerang berusia 21 tahun George Attram muncul pemain kesembilan Selangor 2 yang mendapat aksi dengan pasukan utama musim ini, namum hanya mendapat peluang dalam separuh masa pertama. Anak Ghana ini dilihat gugup dan tidak berjaya memainkan peranan yang baik memegang bola di atas, dan atas sebab itu dia dikeluarkan pada waktu rehat.

Namun ini tidak bermakna yang dia telah gagal, kerana memang kebiasaannya pemain muda yang diberi penampilan pertama akan menampilkan dua kemungkinan persembahan berbeza; sama ada akan bermain baik kerana mahu mengagumkan jurulatih dan penyokong, atau akan gugup dan tidak dapat bermain baik. Dan bagi George, dia sedikit goyah malam itu.

Tiada sesiapa harus mempersalahkannya sebagai pemain baru, apatah lagi dia kini sudah ada pengalaman beraksi dan akan bermain lebih baik dalam kemunculan seterusnya. Namun persoalan harus ditanyakan mengenai pemilihannya, apabila dia diberi tugas berat dalam ‘debut’ ini sedangkan dua perlawanan Gergasi Merah sebelum itu, menentang pasukan bukan pilihan Kuching City, dilihat merupakan cabaran yang lebih mampu untuk didaki.

Chang dikorbankan

George yang diturunkan sebagai penyerang utama juga menyebabkan Danial Asri yang bermain cemerlang dalam dua perlawanan menentang Kuching sebelum ini terpaksa melepaskan posisi itu untuk kembali sebagai penyerang sokongan. Hasilnya dia tenggelam dan terpaksa dikeluarkan pada separuh masa kedua.

Sayang sekali yang kepercayaan yang telah diberikan kepada Chang untuk menggalas tugas memburu gol semasa ketiadaan bintang serangan Ifedayo Olusegun tidak dipanjangkan ke aksi yang lebih sukar, untuk memberikan dia peluang menyahut cabaran yang lebih sukar menentang pasukan yang lebih kuat.

Sebaliknya pemain yang belum terbukti di peringkat pasukan utama pula yang menjadi pilihan barisan kejurulatihan.

Kalaulah ada tiga lagi Shahrel Fikri…

Merah Kuning 24/7 memilih Shahrel Fikri Fauzi sebagai pemain terbaik pasukan malam itu, walaupun hanya masuk selepas rehat menggantikan George. Mungkin kerana geram terlalu lama rehat selepas cedera panjang, dia masuk ke padang garang, dibantu pula taktikal ‘high-pressing’. Baru beberapa minit separuh masa kedua bermula, dia melakukan percubaan yang hanya digagalkan tepisan baik penjaga gol lawan. Tidak beberapa lama, sepakan percumanya yang tepat sekali lagi digagalkan Suhaimi Husin. Namun dia kekal mengancam, dan berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-83 hasil kerja keras, untuk menghasilkan gol tunggal pasukan malam itu.

Sayangnya, hanya Eky sahaja pemain Selangor yang dilihat berperwatakan sebegini malam itu dengan gaya permainan yang tajam dan ada idea. Malah perlu diakui yang musim ini, jarang-jarang dilihat pemain gantian Selangor masuk dengan impak segera seperti ini.

Hakim dan Nik

Gol tunggal tadi juga merupakan hasil kerja keras seorang lagi pemain gantian, Nor Hakim Hassan yang menggelecek pertahanan sebelum membuat lorongan berbahaya kepada Shahrel. Masuk hanya pada minit ke-77, dia berjaya membantu pasukan merapatkan kedudukan dan dilihat efektif, tidak seperti persembahannya dalam kesebelasan utama bagi dua perlawanan sebelum ini.

Kegagalan bermain baik secara konsisten merupakan masalah utama skuad Selangor musim ini, dan ia kerap menjadi masalah dalam pemilihan kesebelasan utama.

Ini dapat dilihat melalui persembahan pemain yang digantikan oleh Hakim pada malam Ahad, Nik Sharif Haseefy. Setelah menjadi wira Rabu lalu menentang Kuching dengan menyumbat gol kemenangan di minit akhir permainan, menentang Terengganu dia diberi kepercayaan memulakan perlawanan. Tetapi dia dilihat tidak tajam dan tidak berjaya melakukan hantaran-hantaran yang efektif, dan seterusnya direhatkan awal.

‘Birthday boy’ yang beri hadiah

Ahad merupakan hari lahir ke-32 penjaga gol utama, Khairulazhan Khalid tapi sayangnya persembahan yang ditampilkannya pasti membuatkan rakan sepasukan rasa mahu meminta beliau memulangkan semua hadiah-hadiah harijadi yang telah diberikan.

Ketiga-tiga gol pasukan pelawat boleh disifatkan sebagai hadiah dari Yan, dengan gol pertama berpunca dari tangkapan yang tidak kemas dan dapat disambar Faisal Halim. Ini juga sama situasinya seperti gol Kuching yang dilepaskannya Rabu lalu, pada masa Selangor seharusnya melebarkan kelebihan jaringan.

Gol kedua dan ketiga Terengganu, dari sepakan percuma, hampir serupa dengan penjaring yang sama, menunjukkan yang dia tidak lagi dapat fokus terhadap tugasnya.

Bukanlah niat penulis untuk melihat dia dihukum, tapi ada baiknya apabila menentang Perak FC Rabu ini, perlawanan kumpulan sekadar pelengkap jadual, penjaga-penjaga gol lain seperti Tauffiq Ar Rasyid dan Sikh Izhan diberi peluang mendapatkan ‘match fitness’ sebagai persiapan menghadapi saingan suku akhir.

Tamat analisis Selangor lwn Terengganu. Ingin bantu kami bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.