Selangor FC tunjuk keyakinan

Apa yang kita lihat dalam pertemuan Terengganu-Selangor

Keputusan akhir perlawanan Kumpulan B Piala Malaysia di Kuala Terengganu semalam tidaklah mengejutkan jika dilihat dari pertembungan dalam liga sebelum ini dan jurang kualiti di antara dua-dua pasukan. Isu-isu yang dipamerkan anak-anak buah Karsten Neitzel juga bukan masalah baru, jadi analisis Terengganu lwn Selangor ini adalah coretan pendek.

Kredit foto utama Selangor FC

‘High-pressing’ Terengganu beri masalah

Tidak seperti semasa di bawah kendalian pengarah bolasepak kelab, Michael Feichtenbeiner tahun lalu sebagai pemangku jurulatih, Selangor di bawah Karsten musim ini tidak melakukan ‘high-pressing’.

Dalam separuh masa pertama, tuan rumah memberikan tekanan tinggi ke atas Selangor, dan hasilnya pasukan pelawat tidak berupaya melancarkan serangan apabila memiliki bola. Malahan mereka juga kerap dipaksa menolak semula bola ke belakang kerana takut kehilangan bola.

Lagi banyak ‘passing’ belakang dari pasukan ragbi

‘Peel’ kerap menghantar bola ke belakang ini bukannya tabiat baru. Di bawah Karsten ia kerap dilakukan dengan pemain-pemain dilihat takut untuk mengambil risiko dan menggunakan kemahiran individu mereka untuk melepasi pertahanan.

Akibatnya, bukan sahaja serangan yang dilancarkan skuad Merah Kuning nampak tidak membahayakan, malah kualiti permainan pasukan juga semakin tidak menghiburkan. Ini merupakan sesuatu yang perlu diteliti pengurusan kelab jika mereka serius mahu memancing penyokong untuk kembali ke stadium, kerana peminat yang betul-betul fanatik saja yang sanggup membayar tiket untuk menyaksikan permainan seperti ini, apatah lagi kemungkinan untuk menang itu adakalanya begitu samar-samar.

Sentiasa lambat selangkah

Isu seterusnya mungkin tak dapat penulis huraikan secara baik, memandangkan pengetahuan taktikal penulis yang tidak tinggi. Semasa menyerang, pemain-pemain Selangor dilihat lambat dari segi ‘urgency’ dan juga ‘awareness’. Tiap-tiap kali mereka mendapat bola, mereka perlu berhenti sejenak untuk melihat pilihan yang mereka ada dari segi rakan-rakan sepasukan. Dan bila ini berlaku, masa ini digunakan lawan untuk menyusun semula barisan pertahanan, terutamanya pasukan yang berdisiplin tinggi seperti Terengganu.

Ini hanyalah spekulasi penulis, tapi pasukan Selangor kelihatan seperti tidak diberikan cukup latihan oleh Karsten dari segi transisi dan pergerakan semasa menyerang. Mereka seolah-olah tidak boleh menjangkakan siapa yang akan berada di posisi penting dalam situasi-situasi menyerang.

Kelemahan ini lebih ketara di penghujung perlawanan setelah mereka berjaya merapatkan kedudukan menerusi gol Ashmawi Yakin. Dalam situasi di mana pasukan yang memiliki kelebihan tipis selalunya berada dalam tekanan bagi mengelak melepaskan gol penyamaan di saat-saat akhir, Selangor sebaliknya gagal menggandakan tekanan yang dirasai Terengganu ini kerana serangan-serangan mereka kelihatan tiada perancangan kukuh. Hanya cubaan-cubaan jauh dan hantaran-hantaran silang bersifat ‘Insya Allah.’

Tapi perlu dinyatakan juga yang kejanggalan ini mungkin berpunca daripada kekerapan bertukar kesebelasan utama akibat kecederaan.

Kecederaan

Tak boleh nak diperkatakan secara panjang lebar kerana tidak diketahui apa yang dilakukan di balik tabir. Malam tadi giliran Syahmi Safari pula tercedera selepas hanya 30 minit perlawanan berlangsung. Dalam perlawanan sebelumnya, Oliver Buff yang baru pulih dari kecederaan, terpaksa dikeluarkan selepas tempoh yang hampir sama.

CEO kelab Johan Kamal Hamidon menyatakan yang senarai kecederaan yang panjang musim ini adalah disebabkan nasib yang tak baik, tapi sukar penulis untuk mempercayainya. Dilihat dari situasi semasa, ditenung pemain lawan sahaja sudah cukup untuk membuat pemain-pemain Selangor terkehel dan terpelecok.

Ketiadaan Mickey beri peluang buat Selangor

Selangor diperbudak-budakkan sepanjang perlawanan, dan salah satu punca utamanya adalah pemain penyerang skuad Penyu, Faisal Abdul Halim. ‘Mickey’ menggunakan kepantasan individunya untuk membuli pasukan pelawat, dan berhasil melakukan dua bantuan gol. Nasib baik buat Selangor, penglibatannya hanya terbatas hingga ke minit 64 akibat kecederaan, dan selepas itu barulah anak-anak buah Karsten mampu kembali bernafas dan berpeluang merapatkan kedudukan.

Tamat analisis Terengganu lwn Selangor

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.