Andik Vermansah menyesal

Andik menyesal, kini lega Pratama buat keputusan terbaik

Biarpun sempat dikaitkan oleh desas-desus liar dengan perpindahan ke Selangor FC, bintang muda Indonesia Pratama Arhan akhirnya telah diumumkan akan berhijrah ke kelab Jepun, Tokyo Verdy. Perkembangan ini turut mendapat respon seorang bekas bintang Gergasi Merah dari negara itu yang pernah melalui situasi hampir serupa. Namun menurutnya, Andik Vermansah menyesal tidak memilih untuk beraksi di Jepun dan hanya menyertai Selangor.

Kredit foto Selangor FC

Pratama yang berusia 20 tahun merupakan salah seorang bakat baru yang bersinar dalam Piala AFF 2020 Disember lalu, membantu negaranya layak ke perlawanan akhir sebelum tumpas kepada Thailand. Malah pemain pertahanan kiri ini turut menjaringkan satu gol ketika Garuda membenam Harimau Malaya 4-1 dalam aksi peringkat kumpulan, yang seterusnya menyebabkan dia tidak semena-mena disebut sebagai sasaran untuk ditandatangani Gergasi Merah.

Namun tiada perkembangan jelas berlaku di antara kedua-dua pihak ini, dan ini jelas mustahil akan berlaku apabila dia diumumkan akan menyertai kelab divisyen dua Negara Matahari Terbit itu.

Situasi ini melegakan bekas bintang Indonesia dan Selangor Andik, yang pernah melalui situasi yang sama. Namun keputusan yang diambilnya dahulu berbeza, seperti yang diberitahu kepada Kompas.

Bintang pemain sayap itu bersinar pada tahun 2013, dan dia mendapat peluang menjalani ujian bersama kelab J1 League Ventforet Kofu sedang Selangor menyatakan minat untuk menandatangani beliau. Menurutnya, kelab Jepun itu kemudiannya turut menawarkan kontrak kepadanya, tetapi dia tidak mengambil keputusan seperti Pratama.

“Ya saya pernah di Jepang (Jepun) satu mingguan di Kofu. Di situ saya ujicoba pertama kali dan cetak gol. Orang sana berharap saya tanda tangan [kontrak], memang ada tawaran. Tetapi waktu itu saya memilih Selangor.

“Memang saya sayangkan (sesali) tapi ini sudah buat pelajaran lah. Biasanya penyesalan belakangan dan ini ya netizen menghina-hina saya, padahal ini mungkin buat seperti Arhan dan lainnya biar mentalnya bagus,” ujar pemain berusia 30 tahun itu.

Menurut Kompas, keputusan Andik menolak peluang beraksi di Jepun untuk beraksi di Selangor yang lebih lumayan dan dekat dengan keluarga merupakan penyesalan terbesar beliau sepanjang kerjayanya, dan dia gembira melihat Pratama menunjukkan kematangan dan membuat keputusan terbaik.

“Insyaallah saya doakan Arhan tidak setahun aja. Semoga bisa bertahun-tahun dan membawa adik-adik atau rekannya untuk bermain di sana dalam arti untuk dorongan berani keluar negeri.”

Andik beraksi selama empat musim bersama Selangor dan dapat memenangi Piala Malaysia 2015, sebelum beraksi semusim untuk Kedah pada 2018. Dia kini bermain untuk Bhayangkara Solo FC dalam Liga 1 Indonesia.

Ingin bantu Merah Kuning 24/7 bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.