‘Sampai mati saya rindu Selangor’ – Andik tampil jelas kenyataan

Timbul sedikit kontroversi baru-baru ini melibatkan seorang bekas pemain Selangor FC dari seberang. Pemain itu, Andik Vermansah tampil jelaskan kenyataan yang dibuatnya dalam isu perpindahan bintang muda Indonesia Pratama Arhan ke Jepun.

Awal minggu ini, Andik menyatakan kepada organisasi berita Indonesia, Kompas yang dia gembira yang Pratama memilih untuk menyertai kelab divisyen dua Jepun, Tokyo Verdy daripada kekal di Indonesia.

Dia turut berkongsi kisah peribadi beliau yang hampir sama, apabila pada penghujung tahun 2013 perlu membuat pilihan sama ada menyertai kelab Jepun Ventforet Kofu, atau Selangor.

Namun tidak seperti Pratama, Andik akhirnya menyertai Selangor disebabkan tawaran gaji yang lebih baik dan jarak yang lebih dekat dengan kampung halaman, dan dia memberitahu Kompas yang sehingga kini dia amat menyesal menolak peluang bekerjaya di Jepun.

“Ya saya pernah di Jepang (Jepun) satu mingguan di Kofu. Di situ saya ujicoba pertama kali dan cetak gol. Orang sana berharap saya tanda tangan [kontrak], memang ada tawaran. Tetapi waktu itu saya memilih Selangor.

“Memang saya sayangkan (sesali) tapi ini sudah buat pelajaran lah. Biasanya penyesalan belakangan dan ini ya netizen menghina-hina saya, padahal ini mungkin buat seperti Arhan dan lainnya biar mentalnya bagus,” ujar pemain berusia 30 tahun itu.

Berita ini kemudiannya diolah semula oleh laman berita bolasepak Malaysia, Semuanya Bola, tetapi dengan tajuk pantas ‘“Menyesal Pilih Ke Selangor” – Pernah Tolak Tawaran Ke Jepun, Andik Vermansah Hanya Mampu Doakan Pratama’.

(Merah Kuning 24/7 juga mengambil berita Kompas ini, tapi kami menyatakan dengan jelas yang Andik menyesali keputusannya menolak tawaran Kofu, bukannya menyesal menyertai Selangor.)

Artikel Semuanya Bola tadi dikongsikan laman sosial penyokong Selangor_fans Official, dan memaksa Andik Vermansah tampil jelaskan kenyataan beliau.

“Tak yah (payah) percaya ya min [admin]. Orang buat berita je biar panas. Saya tak cakap macam tu. Selangor Selamanya Sampai Mati!” ujar Andik di ruangan komen.

Apabila komen tadi dipaparkan oleh laman tadi, dia kembali untuk menambah satu lagi komen: “Sampai mati selangor selalu saya rindukan❤️❤️❤️”

Dapat difahami bagaimana kenyataan Andik kepada Kompas tadi, yang sedikit bersifat ‘binary’, boleh disalahanggap oleh media kerana ia memerlukan kemahiran pemahaman bacaan tahap sekolah menengah. Harapnya penyokong Selangor tidak terasa hati dengan kontroversi kecil ini, dan kekal menyokong kerjaya pemain yang kini beraksi untuk Bhayangkara Solo.

Ingin bantu Merah Kuning 24/7 bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.