Selangor-PJ City, Hein Htet Aung

Apa yang kita lihat dalam pertemuan Selangor-PJ City

Anak-anak buah Karsten Neitzel gagal memberikan penamat memberangsangkan kepada kempen Liga Super 2021 mereka, apabila tumpas longlai dalam pertemuan Selangor-PJ City pada malam Ahad. Ada beberapa perkara yang perlu dibangkitkan selepas perlawanan itu berlangsung.

Kredit foto utama Malaysian Football League

Nasib baik tak kalah teruk

Walaupun jaringan akhir adalah 2-1 berpihak kepada pasukan pelawat, pasukan Merah Kuning bernasib baik tidak tumpas dengan lebih banyak gol, akibat persembahan hambar mereka. Pada separuh masa kedua, selepas jaringan pertama PJ City, satu percubaan anak-anak buah Maniam Pachaiappan hinggap di tangan Namathevan Arunasalam dalam kotak penalti. Namun pengadil Usaid Jamal dan penjaga garisan tidak melihatnya dan Selangor FC terselamat dari dihukum.

Sebaliknya pasukan tuan rumah yang menerima penalti di penghujung babak pertama, yang sejujurnya kelihatan seperti satu keputusan yang meragukan oleh Usaid. Ifedayo Olusegun menyempurnakan sepakan bagi gol liga ke-26 peribadi musim ini.

Selepas separuh masa kedua bermula, giliran PJ City pula untuk mendapat sepakan penalti, akibat ‘foul’ penjaga gol Khairulazhan Khalid, tetapi Darren Lok gagal menyudahkan peluang keemasan ini.

Bayangkan jika kedua-dua insiden ini mendapat penyudah yang menyebelahi PJ City, pastinya Selangor mengakhiri perlawanan ini tanpa jaringan dan penuh aib.

Baca juga: Ratings – Selangor diperbudakkan teman serumah

Kepentingan Oli ditunjukkan melalui ketiadaan

Pemain-pemain import Selangor dari Eropah musim ini telah dikritik lantaran dilihat tidak memainkan peranan yang lebih besar dalam pasukan, termasuklah pemain tengah Oliver Buff. Tetapi dalam perlawanan Selangor-PJ City, ketiadaan bekas pemain Real Zaragoza ini amat dirasai.

Pemain-pemain tengah Selangor Sarkunan Krishnansamy dan Aliff Haiqal yang beraksi baik ketika menentang Sabah FC minggu sebelumnya, dilihat seperti tiada hala tuju menentang PJ City, akibat ketiadaan Oli yang berperanan ibarat sauh kepada kedua-dua pemain tadi. Akibatnya, bahagian enjin Selangor ‘ke laut’ sepanjang perlawanan.

Budak-budak skema

Tabiat pasukan-pasukan Liga Malaysia (termasuklah Selangor) yang gemar berbaring di atas padang dan meminta rawatan sekaligus permainan dihentikan apabila kedudukan semasa menyebelahi mereka semakin dikritik peminat dan pemerhati. Ini dapat difahami apabila ia merencatkan tempo permainan dan mengakibatkan perlawanan bertukar bosan. Apatah lagi bila ia berlaku ketika perlawanan masih berbaki banyak masa.

Ini yang dilakukan PJ City setelah mereka berjaya kembali berada di depan di Stadium MBPJ, dan mereka layak dikecam akibat menggunakan taktik kotor ini. Tetapi skuad Gergasi Merah juga layak dikecam berjemaah apabila mereka dilihat begitu lurus mengeluarkan bola setiap kali ada pemain PJ City yang berbaring, apatah lagi mereka ketika itu sedang mencari gol penyamaan. Perlu diingat, tindakan menyepak bola keluar padang apabila ada kecederaan bukanlah sebahagian dari peraturan, sebaliknya ia hanyalah ‘gentleman’s agreement’ di kalangan pemain-pemain.

Perbuatan ‘Mr. nice guy’ ini hanya merencatkan momentum mereka dan mengganggu pencarian gol penyamaan. Tak ada sesiapa yang akan menyalahkan mereka jika mereka tak menunjukkan belas kasihan kepada lawan yang mahu menang mudah. Namun sudahlah kalah, anak-anak buah Karsten kini kelihatan seperti ‘cuck’ yang diperbodohkan kerana kedunguan yang hanya merugikan diri sendiri.

Kekuatan mental

Ketiadaan ciri-ciri kepimpinan dalam skuad Selangor bukanlah perkara baru, dan ia timbul lagi dalam perlawanan Selangor-PJ City. Tiada siapa di atas padang yang dilihat menaikkan semangat rakan-rakan sepasukan, sama ada melalui laungan-laungan atau permainan individu yang meyakinkan. Lebih melucukan, kapten Syahmi Safari yang diharap dapat memimpin pasukan sebaliknya dibuang padang di penghujung perlawanan akibat ‘last man foul’ yang terpaksa dilakukannya, setelah kehilangan bola akibat silap sendiri.

Apa yang tidak begitu ketara adalah ‘keupayaan’ semua kesebelas-sebelas pemain Selangor di atas padang untuk mempamerkan persembahan buruk apabila keadaan tidak menyebelahi mereka. Menentang PJ City, dari penyerang sehinggalah ke penjaga gol dilihat gugup, seolah-olah mereka bukan pasukan yang berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah enam perlawanan berturut-turut dan membelasah lawan minggu sebelumnya 6-0. Di sebalik potensi dan kebolehan individu yang dimiliki mereka, apabila mereka gugup, keseluruhan pasukan akan ikut gugup dan mula bermain tanpa hala tuju. Hantaran-hantaran dilakukan tersangkut dan tersasar, formasi hilang bentuknya, dan barisan pertahanan menjadi poros.

Jika Piala Malaysia jadi sasaran Gergasi Merah, penyakit hilang keyakinan ini harus diatasi segera dan secara berkala. Mungkin khidmat ahli psikologi kelab, Bryan Win dapat dikerah untuk memperbaiki kekuatan mental mereka menjelang pertandingan ini.

Previous Article
Next Article

2 Replies to “Apa yang kita lihat dalam pertemuan Selangor-PJ City”

  1. Reec

    Coach ni lapar perhatian bang. X habis² dgn eksperimen. Walhal last game jumpa Sabah elok solid dah defend dapat clean sheet. Jumpa PJ city ditukar-tukarnya position player. Syahmi di suruh main sebelah kiri dah kenapa. Si Dinesh tu elok sihat je. Bila da bolos elok lak dia masukkan si dinesh tu. Ashmawi yakin tu dah selalu jd palat bila main CB. Fizikal out. Dia da x relevant dah dgn posisi tu. Better convert dia main posisi lain atau better keluar je dari SFC cari angin baru. Si coach lapar perhatian ni x nampak ke buta ke yang selangor ni punya gol bolos byk serupa setan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.