Armin Maier, Selangor 2

Pemain Selangor 2 tamatkan kontrak enam bulan awal

Pemain asal Singapura, Armin Maier Rafi mengumumkan pada malam Isnin, 6 September bahawa dia telah menamatkan kontraknya dengan Selangor FC.

Dia yang kini berumur 24 tahun menyertai Gergasi Merah pada awal musim 2020, dan telah membuat beberapa penampilan Liga Premier dengan pasukan simpanan. Dia juga mempunyai keturunan campuran Jerman dan Malaysia.

“Buat penyokong Red Giants, dengan ini diumumkan yang saya telah menamatkan kontrak dua tahun saya bersama Selangor FC enam bulan lebih awal, dan telah pulang ke Eropah atas sebab-sebab peribadi.

“Saya bangga dapat mewakili kelab bersejarah ini dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan dan perhatian kepada saya dari hari pertama lagi. Saya sentiasa berikan yang terbaik dan menyarung jersi dengan penuh bangga, apabila diberikan peluang.

“Buat masa ini, tumpuan saya adalah untuk meluangkan masa dengan keluarga dan berehat sebelum menyahut cabaran baru di negara lain. Saya harap dapat pulang ke liga Malaysia semula di masa depan kerana masih banyak yang belum saya tunjukkan kepada penyokong-penyokong Malaysia,” jelas pemain tengah ini di laman Instagram beliau.

Armin pernah berlatih dengan sebuah kelab pembangunan di Jerman, sebelum pengalaman ini melayakkannya menyertai Young Lions dalam liga Singapura. Dia kemudiannya menyertai FC Kreuzlingen di Switzerland selama semusim, JDT FC pada tahun seterusnya, dan Selangor 2. Yang menariknya, semua pasukan-pasukan ini disertai Armin selama hanya semusim.

Pada tahun lalu, timbul desas-desus yang Merah Kuning akan membantunya mendapatkan pasport Malaysia.

Setiausaha agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ketika itu menyatakan yang Armin tiada dalam radar FAM, dan sebarang usaha mendapatkan kelayakan mewakili Malaysia untuknya harus dilakukan oleh Selangor.

CEO kelab, Johan Kamal Hamidon ada menyatakan kesanggupan membantu Armin, tetapi ia bergantung kepada minat barisan kejurulatihan pasukan untuk mengekalkan Armin dalam pasukan.

Menerusi perkembangan terbaru ini, dapat kita simpulkan yang usaha ini tidak berjaya akhirnya.

Selamat berjaya diucapkan kepada Armin Maier!

Baca juga: Selepas pecah rekod, Ifedayo alih perhatian ke Piala Malaysia

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.