Ashmawi kini pemain utama

Ashmawi Yakin kini pemain utama Gergasi Merah

Daripada seorang pemain berstatus simpanan di Selangor FC semasa mula-mula menyertai mereka pada musim 2018, pemain pertahanan Ashmawi kini pemain utama pasukan, dengan 14 penampilan bersama pasukan utama dalam musim ini.

Kredit foto Selangor FC

Dalam aksi terbarunya bersama Gergasi Merah, pemain berusia 27 tahun ini turut merekodkan pencapaian individu terkini; dia menjaringkan gol pertamanya untuk Selangor, dalam kekalahan 2-1 kepada Terengganu FC dalam Kumpulan B Piala Malaysia, pada 29 September di Kuala Terengganu.

Walaupun jaringan itu menyebabkan bekas pemain Negeri Sembilan dan Harimau Muda ini tercedera dan terpaksa dikeluarkan, dia kini telah kembali pulih dan bersedia untuk kembali menggalas tugas sebagai salah seorang pemain utama, semasa pasukannya mengalami krisis kecederaan.

“Nak kata gembira [dengan gol pertamanya untuk Selangor] itu tidak, kerana kami tak menang, tak dapat tiga mata dan permainan kami pun tak berapa elok malam itu.

“Alhamdulillah saya dah mula berlatih seperti biasa sekarang, cuma harus lakukan lebih untuk dapatkan semula kecergasan. Persiapan pasukan pun berjalan lancar dan kami bersedia untuk beri yang terbaik,” jelas Ashmawi Yakin dalam sebuah temubual yang dikelolakan Selangor FC.

Dia juga yakin dengan peluang Gergasi Merah dalam pertandingan Piala Malaysia edisi keseratus tahun ini, jika mereka fokus.

“Selangor berpeluang jadi juara, tapi yang penting adalah untuk berikan persembahan terbaik dan berusaha keras dalam setiap perlawanan, dan tak cepat puas hati setelah menang.

“[Kami perlu] sentiasa fokus,” ujarnya.

Ashmawi kini pemain utama, jadi apa perasaan beliau dapat kekal dengan satu pasukan yang sama bagi tempoh empat tahun, rekod yang agak sukar untuk dicapai dalam liga Malaysia?

“Alhamdulillah yang Selangor masih percayakan khidmat saya. Bukan senang dalam bolasepak sekarang [untuk kekal selama empat musim di kelab yang sama].

“Yang penting adalah sentiasa kerja keras dan percaya kepada diri sendiri,” kata graduan Sekolah Sukan Bukit Jalil ini pada hari Jumaat lalu.

Perakuan: Artikel ini diolah semula dari penulisan pengarang sendiri, yang pertama kali diterbitkan di laman sesawang Selangor FC. Penulis juga telah diberi tanggungjawab oleh kelab untuk menulis beberapa artikel bagi pihak mereka bagi tempoh beberapa bulan akan datang.

Ingin bantu kami bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.