Stadium Shah Alam tak

Projek baik pulih Stadium Shah Alam perlu lebih banyak masa

Nampaknya penyokong Gergasi Merah yang mahukan kelab kembali ke stadium keramat mereka perlu menunggu lebih lama. Menurut komen terbaru Menteri Besar Selangor, proses baik pulih Stadium Shah Alam telah tertangguh akibat wabak Covid-19.

Kredi foto DEFM

Datuk Seri Amirudin Shari berkata pada Ahad, 24 Oktober yang kerja-kerja membaik pulih stadium yang ditutup sejak awal tahun lalu akan dimulakan secepat mungkin.

“Ini akan mengambil masa satu hingga dua tahun. Saya rasa kerja-kerja ini akan hanya dimulakan pada penghujung tahun ini,” jelasnya dalam sebuah majlis kepada New Straits Times, yang menambah projek ini akan selesai pada 2024.

Manakala Amirudin dipetik sebagai berkata oleh Kosmo:

“Sekiranya semua berjalan lancar, Insya-Allah kerja projek naik taraf akan dijalankan secepat mungkin.

“Kerajaan negeri telah meletakkan syarat bahawa stadium ini harus dibaik pulih dahulu, sebelum fasiliti lain di sekitar stadium ini dibaiki.”

Biar pun banyak sejarah tersendiri sebagai laman rasmi Gergasi Merah dan rumah semetara pasukan kebangsaan Malaysia, gelanggang bersifat serbaguna yang siap dibina pada tahun 1994 ini memang tidak asing lagi dengan penutupan akibat kerja-kerja baik pulih. Bila ini berlaku, kelab terpaksa mencari gelanggang baru sebagai rumah sementara.

Isu kali ini timbul hanya dua minggu sebelum Liga Super musim 2020 dijadualkan bermula, apabila Malaysian Football League (MFL) menyatakan yang bumbung stadium ini yang bocor di tempat-tempat tertentu kononnya boleh membawa bahaya kepada penyokong, lalu menghalang kelab untuk menggunakannya sebagai laman sendiri. Akibatnya dalam musim itu Selangor terpaksa berkongsi Stadium UiTM dengan UiTM, manakala pada musim ini mereka berkongsi Stadium MBPJ dengan Petaling Jaya City.

Namun untunglah apabila hanya minggu lalu, ketua pegawai eksekutif (CEO) kelab Johan Kamal Hamidon mengesahkan yang Stadium MBPJ akan kekal sebagai gelanggang Gergasi Merah pada musim 2022, bermakna yang tidak akan timbul lagi isu pencarian stadium di saat-saat akhir. (Itu pun jika MFL atau pihak-pihak lain tidak dapat mencari ‘masalah’ melibatkan stadium ini pula sebelum atau semasa musim 2022 berjalan!)

Ada baiknya jika MBPJ dijadikan gelanggang Selangor FC secara kekal disebabkan saiz dan lokasinya, apatah lagi dengan Stadium Shah Alam yang dilihat tak boleh diharap, biar pun ada reputasi bersejarah. Tiada jaminan yang jika siap untuk digunakan pun, kerja-kerja baik pulih Stadium Shah Alam yang seterusnya tidak akan diperlukan sebulan dua selepas itu.

Ingin bantu kami bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.