Ken Worden meninggal

Bekas jurulatih Selangor Ken Worden meninggal dunia

Sukan bolasepak Malaysia berdukacita setelah mengetahui yang bekas ketua jurulatih Selangor dan Malaysia, Ken Worden meninggal dunia pada Isnin, 20 September.

Walaupun berita ini tidak diumumkan secara rasmi oleh keluarga jurulatih berbangsa England ini, ia dilaporkan oleh pengendali bolasepak di Tasmania, Football Tasmania di laman Facebook mereka. Sebelum menjadi jurulatih di rantau Asia Tenggara, Ken bekerjaya sebagai pemain dan jurulatih di negeri Australia ini.

Pasukan negeri Selangor merupakan pasukan pertama Ken di rantau ini, apabila menjawat peranan ketua jurulatih pada musim 1991. Dia hanya bertahan semusim biarpun membawa pasukan menjuarai Piala FA, tetapi dilantik sebagai jurulatih pasukan kebangsaan Malaysia bagi tahun 1992 dan 1993. Semasa menggalas tugas ini, Ken sempat terlibat dengan kontroversi percakaran fizikal dengan pengurus Selangor ketika itu, Mazlan Harun. Tahun berikutnya dia menyeberang tambak apabila dilantik ketua jurulatih Singapura, tetapi kembali semula ke Selangor pada penghujung tahun.

Kali ini Ken akan merangkul lebih banyak kejayaan dengan skuad Merah Kuning. Pada musim 1995 dia memimpin Selangor ke kejuaraan Piala Malaysia pertama mereka sejak 1986, dan pada 1996 mereka mengekalkan kejuaraan ini, di samping memenangi trofi Piala Sumbangsih.

Dia akan kembali ke Selangor sekali lagi selepas itu (2002-2004), dan memenangi Piala Malaysia sekali lagi, pada tahun 2002.

Ken juga pernah menjadi ketua jurulatih bagi pasukan Sabah dan Terengganu di antaranya.

Ramai penyokong-penyokong, bekas-bekas pemain dan jurulatih yang menyuarakan rasa sedih mereka selepas Ken Worden meninggal dunia pada usia 78 tahun.

“Coach Ken Worden meninggal dunia di Australia. Saya dan arwah abang Zaid Jamil terhutang budi pada beliau sepanjang karier kami. Worden memilih Zaid utk skuad Malaysia sekitar ’91/’92, dan membawanya ke Selangor pada ’93, dan saya memenangi Piala Malaysia 2002 dibawah Worden. RIP coach,” jelas bekas pemain Selangor dan ketua jurulatih Felda United, Nidzam Jamil.

“Sabah FC mengucapkan Takziah kepada keluarga Mendiang Ken Worden yang meninggal dunia awal hari ini (Isnin). Coach Ken Worden bukan asing dalam bolasepak Malaysia, pernah menjadi jurulatih paukan Sabah di awal 2000. ‘Gone from our sight, but never from our hearts.’ Rest in Peace Coach,” – Sabah FC.

Baca juga: Selangor ketahui jadual peringkat kumpulan Piala Malaysia

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.