Bekas pemain Selangor 2020

Bekas pemain Selangor 2020, di mana mereka sekarang?

Tahun 2020 merupakan tahun yang pasti mahu dilupakan ramai orang, sebahagian besarnya akibat penularan wabak Covid-19 yang masih berlarutan hingga ke hari ini. Namun beberapa nama sempat mewakili pasukan utama Gergasi Merah dalam musim yang pendek ini, sebelum meninggalkan pasukan buat musim 2021. Ini senarai bekas-bekas pemain Selangor 2020, dan di mana mereka pada musim ini.

Berpindah ke Sarawak United

Menjelang musim 2021, bekas ketua jurulatih Selangor FC B. Satiananthan menjawat jawatan pengarah teknikal pasukan Liga Premier, Sarawak United. Pelantikannya sudah pasti ada hubungkait dengan hakikat bahawa tiga bekas anak-anak buahnya di Selangor pada tahun sebelumnya, ikut menyertai Sarawak bagi musim ini. Mereka adalah penyerang Sandro da Silva, ‘centre back’ Taylor Regan dan juga pemain tengah Zahril Azri Zabri.

Mereka menjadi pemain utama Sarawak dan berjaya membantu skuad Bujang Senang naik ke divisyen satu 2022 sebagai naib juara liga. Malah mereka dilihat begitu berbahaya dalam kempen Piala Malaysia yang baru bermula, selepas menewaskan kelab-kelab Liga Super Sri Pahang dan Sri Pahang.

Menyertai Petaling Jaya City

Satu lagi kelompok bekas pemain Merah Kuning menyertai Petaling Jaya City (PJ City) bagi musim ini, yang diketahui merupakan ibarat ‘alumni’ Selangor. Pemain-pemain ini adalah penyerang Khyril Muhymeen Zambri dan pemain-pemain pertahanan K. Prabakaran dan Tamil Maran Manimaran.

Muhymeen dilihat masih dibelenggu masalah kecergasan yang kerap dialaminya dari dahulu, dan hanya membuat enam penampilan liga. Namun ketajamannya masih ada, apabila menjaringkan tiga gol di penghujung saingan liga (termasuk satu gol yang membantu PJ City menumpaskan Selangor 2-1). Prabakaran dan Tamil pula dilihat menjadi watak penting di pasukan ini, dengan 21 dan 15 penampilan dalam liga masing-masing.

Selain kejayaan menang ke atas Selangor tadi, sudah pasti pencapaian menghindari penyingkiran dengan dibarisi 100 peratus pemain Malaysia musim ini merupakan sesuatu yang dianggap sebagai kejayaan besar buat Sang Phoenix.

Syazwan Zainon

Bermain buat Merah Kuning selama dua musim, Wan Karpet mengambil keputusan pulang ke pangkuan Hijau Kuning musim ini. Pemain serangan berusia 31 tahun ini dilihat masih mendapat tempat dalam skuad melalui 14 penampilan liga dan dua gol. Sumbangannya membantu Kedah DA menamatkan saingan di tempat kedua liga dan layak ke Piala AFC 2022.

Rufino Segovia

Mesin gol dari Sepanyol ini baru saja mendapat kelab baru, dan sempat pula menjadi CEO firma konsultasi hartanah. Baca semuanya di sini.

Farizal Harun

Penjaga gol kontroversi ini bermain dua musim di Selangor, dan selepas hanya membuat satu penampilan pada musim 2020, dia berhijrah ke Kelantan FC di Liga Premier. Bersama Pahlawan Merah, penjaga gawang berusia 35 tahun ini dilihat kerap digilirkan dengan seorang lagi penjaga gol, Faridzuean Kamaruddin. Kelantan masih kekal dalam Liga Premier dan telah layak ke Piala Malaysia tahun ini.

Nicholas Swirad

Pemain England-Malaysia ini hanya sempat bermain semusim dengan Selangor, dan dalam hanya empat penampilan liga. Namun selepas meninggalkan Merah Kuning, dia berjaya lekas mendapat kelab baru, bersama Nongbua Pitchaya dalam divisyen dua Thailand.

Kontrak jangka pendek itu menyaksikan Nicholas berjaya membantu Pitchaya menjadi juara musim 2021/22, dan membolehkan pemain pertahanan ini disambung kontraknya. Malangnya, dia tidak dapat kekal di situ akibat syarat yang mewajibkan pemain asing dari zon ASEAN untuk mewakili negara mereka sekurang-kurangnya tiga kali sebelum boleh beraksi dalam divisyen satu Thailand.

Pemain berumur 30 tahun ini kemudiannya pulang ke Malaysia dan menyertai Sri Pahang dalam jendela perpindahan kedua, di mana dia membuat lapan penampilan Liga Super dan membantu mereka mengelakkan penyingkiran.

Anwar Ibrahim

Pemain pertahanan dengan nama yang sukar dilupakan ini merupakan salah seorang dari dua pemain muda yang dibawa masuk Satiananthan dari Felda United di awal musim 2020 (seorang lagi adalah Zahril Azri yang kini di Sarawak United). Namun setelah membuat hanya satu penampilan liga pada musim itu, dia menyertai Kuala Lumpur City bagi musim 2021, di mana dia membuat satu penampilan liga.

Kita ucapkan selamat berjaya kepada bekas-bekas pemain Selangor 2020 ini, di mana pun mereka berada dan akan pergi.

Follow’ laman Facebook kami untuk kekal mengikuti perkembangan Selangor FC!

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.