Kapten Jordan sertai Selangor FC

Bintang-bintang Jordan sertai Selangor usai kempen Piala Arab

Sedang edisi kesepuluh Piala Arab yang sedang berlangsung ketika ini menuju penamatnya, dua orang pemain sebuah pasukan yang tiba di suku akhir dilihat akan ke Shah Alam. Dua orang bintang-bintang Jordan sertai Selangor FC bagi musim depan, menurut pengumuman mereka sendiri di sosial media.

Kredit foto Persatuan Bolasepak Jordan

Yang pertama adalah ‘centre back’ berusia 25 tahun Yazan Al-Arab, yang pada musim 2021 telah bermain dengan Al-Wehdat dalam Liga Pro Jordan, dan membantu mereka tamat saingan di tempat kedua. Yazan dilaporkan telah mendapat lebih 30 ‘caps’ kebangsaan.

“Saya sangat gembira dapat menyertai Selangor FC bagi musim depan. Ianya perjalanan baru yang membawa pengalaman baru, dan saya mahu menggapai cita-cita baru,” tulis Yazan.

Seorang lagi pemain Jordan yang akan menyertai Gergasi Merah adalah pemain tengah dan pembantu ketua pasukan Jordan, Baha’ Abdel-Rahman.

Walaupun Baha’ akan mencecah usia 35 tahun Januari depan, dia dilihat masih cergas dan merupakan pemain kesebelasan utama. Sebagai contoh, dalam perlawanan suku akhir Jordan menentang Mesir baru-baru ini, dia berada di atas padang dari awal hingga ke wisel penamat dalam perlawanan yang tamat dengan kemenangan 3-1 menerusi masa tambahan buat Mesir.

Malah Merah Kuning 24/7 pernah diberitahu yang khidmatnya ditagih Gergasi Merah atas ciri-ciri kepimpinan beliau, sebagai pemain veteran. Selain tugas sebagai pembantu kapten Jordan, dia juga antara pemain yang balik banyak penampilan dalam sejarah pasukan itu.

Mereka dipercayai telah menandatangani kontrak dengan Selangor selama semusim.

Kedua-dua Yazan dan Baha’ juga ada dalam kesebelasan utama Jordan semasa mereka menumpaskan Malaysia 4-0 dalam perlawanan persahabatan 6 Oktober lalu.

Namun agak melucukan yang bintang-bintang Jordan sertai Selangor ini mengumumkannya terlebih dahulu sebelum pengumuman yang dilakukan kelab.

Penambahan dua orang pemain import baru ini bermakna pasukan utama Selangor kini telah ada empat orang pemain asing, termasuk Safuwan Baharudin dan Tim Heubach.

Di samping bintang-bintang asing ini, timbul pula ura-ura bahawa kelab akan membawa masuk bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sri Pahang, Fazly Mazlan dan pemain Perak FC, Syahir Bashah.

Menurut wartawan The Star T. Avineshwaran pula, kelab akan membawa masuk penjaga gol Penang FC Samuel Somerville dan bekas pemain Selangor Zahril Azri Zabri.

Ingin bantu Merah Kuning 24/7 bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.