Bintang muda Selangor panjangkan

Barisan muda panjangkan kontrak, barisan kejurulatihan diperkukuh

Walaupun musim 2021 Selangor FC tamat di saingan suku akhir Piala Malaysia dengan kekalahan agregat 3-0 dengan Kuala Lumpur City minggu lalu, kelab tidak menunggu lama untuk menjalankan dan mengumumkan persediaan bagi musim akan datang. Sejak hujung minggu lalu, beberapa pengumuman telah dilakukan, di antaranya bintang-bintang muda Selangor panjangkan kontrak mereka.

Hujung minggu lalu, kelab mengumumkan yang pengarah sukan, Michael Feichtenbeiner akan turut menggalas peranan sebagai ketua jurulatih pasukan utama, langkah yang Merah Kuning 24/7 lihat sebagai peluang terakhir bagi beliau menyempurnakan perlaksanaaan ‘DNA Selangor’ yang direncanakannya sendiri.

Ketua jurulatih musim 2021, Karsten Neitzel pula diturunkan pangkat sebagai penolong jurulatih Michael. Kami diberitahu yang dia mempunyai baki kontrak setahun ini merupakan jurulatih yang baik dari segi taktikal dan strategi, tetapi ada masalah komunikasi dengan pemain dan tidak mahir dengan realiti bolasepak Malaysia.

Seorang lagi perlantikan baru adalah bekas pemain Selangor dan ketua jurulatih Felda United, Nidzam Jamil sebagai seorang lagi penolong jurulatih. Dia dahulunya pernah bermain di bawah pimpinan Michael di MPPJ FC.

Sementara itu, skuad bagi musim 2022 juga sedang dipersiapkan.

Kapten pasukan Brendan Gan telah diumumkan akan kekal setelah menyambung kontrak selama setahun. Dia sudah selesai menjalani rawatan bagi barah testis dan mula kembali berlatih secara individu.

Pemain serangan Sean Selvaraj mengumumkan melalui laman Instagramnya yang dia akan meninggalkan Gergasi Merah setelah empat musim. Dia telah menjaringkan tujuh gol Liga Super dalam tempoh itu, dan musim ini telah menghasilkan tiga gol secara keseluruhan.

Terbaru, pada Isnin 22 November, diumumkan yang lima bintang-bintang muda Selangor panjangkan kontrak. Sharul Nazeem (22 tahun), Danial Asri (21), Aliff Haiqal Lau (21), Mukhairi Ajmal (20) dan Hein Htet Aung (20) telah melakukan sekurang-kurangnya 15 penampilan dengan pasukan utama musim ini, dan dilaporkan telah menandatangani kontrak jangka panjang.

Kami juga mendapat tahu mengenai beberapa perkembangan yang belum diumumkan secara rasmi.

Diberitakan yang pemain pertahanan kanan yang telah beraksi cemerlang secara pinjaman buat Penang FC, Quentin Cheng akan kembali. Manakala seorang lagi pertahanan kanan, Namathevan Arunasalam dilaporkan akan meninggalkan pasukan

Pemain tengah, Baha’ Abdel-Rahman Suleiman juga sah akan menyertai Gergasi Merah. Walaupun bakal berusia 35 tahun awal tahun depan, pemain tengah ini masih ligat dan cergas beraksi dengan pasukan kebangsaan Jordan, yang menagih karakter kepimpinannya.

Safuwan Baharudin dikatakan ada mendapat minat kelab lain, tetapi kelab mahu mengekalkan khidmat pemain kebangsaan Singapura ini dan hanya akan melepaskannya jika ada tawaran yang lumayan.

Ura-ura cubaan memancing penyerang Kedah DA Kpah Sherman juga ditangkis kerana kelab dikatakan sedang melihat pilihan lain di luar negara.

Selangor juga dikatakan tidak berminat untuk mengekalkan pemain-pemain dari Eropah yang dibawa masuk bagi musim 2021, iaitu Tim Heubach, Manuel Konrad dan Oliver Buff.

Ingin bantu kami bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.