Bintang Selangor FC kekal

Bintang-bintang kekal, anak muda dinaikkan pangkat

Pengumuman-pengumuman terbaru yang dilakukan sejak dua hari lalu menyaksikan beberapa pemain utama dan bakal bintang kekal di Shah Alam. Beberapa bintang-bintang Selangor FC kekal bagi musim 2022, termasuklah pemain berstatus antarabangsa.

Kredit foto Selangor FC

Pada Rabu, 25 November, Gergasi Merah mengumumkan yang tiga orang pemain yang telah ditandatangani bagi musim 2021 akan kekal sekurang-kurangnya buat semusim lagi.

Penyerang Harimau Malaya Shahrel Fikri Fauzi akan kekal setelah membuat 18 penampilan bersama pasukan utama dan menjaringkan dua gol. Pemain berusia 27 tahun ini kini sedang mengikuti latihan pusat pasukan kebangsaan sebagai persediaan menghadapi Kejuaraan AFF 2020 bulan hadapan.

Pemain serangan berusia 24 tahun Nik Sharif Haseefy juga masih akan bersama. Bekas pemain Pahang ini telah tampil sebanyak lapan kali dan menghasilkan satu gol.

Dinesh Rajasingam, pemain pertahanan kiri akan terus menjalani pemulihan bagi kecederaan ACL yang dialaminya bulan lalu. Dia yang berusia 23 tahun telah membuat 12 penampilan dalam tahun 2021, dan turut hadir dari Pahang.

Yang anehnya, ketiga-ketiga mereka yang merupakan ahli baru pasukan bagi musim 2021 sama ada telah ataupun sedang mengalami kecederaan jangka panjang.

Seorang lagi pemain dengan kecederaan ACL yang masih dikekalkan Selangor adalah pemain tengah, Halim Saari. Pemain yang sudah berada dari musim 2019 ini lagi hanya sempat beraksi dalam dua perlawanan tahun ini sebelum tercedera. Dia yang berusia 27 tahun bagaimanapun dijangka pulih tidak lama lagi.

Satu lagi pemain tengah yang masih mendapat tempat dalam skuad adalah Sarkunan Krishnansamy, yang kini berusia 25 tahun. Walaupun kurang mendapat peluang beraksi (hanya 10 penampilan musim ini) dan dikaitkan dengan perpindahan keluar sejak penghujung musim lalu lagi, dia masih mendapat kepercayaan untuk berada dalam pasukan.

Pemain kebangsaan Singapura, Safuwan Baharudin juga masih setia. Banyak beraksi sebagai pemain pertahanan dan ‘defensive midfielder’, dia yang kini berusia 31 tahun telah beraksi sebanyak 19 kali musim ini dan menjaringkan dua gol. Dan kini dia turut bersiap bagi Kejuaraan AFF, bersama Sang Singa. Merah Kuning 24/7 ada mendapat tahu yang khidmatnya turut dikehendaki sebuah kelab lain, tetapi dia hanya akan dilepaskan dengan pampasan yang tinggi kerana khidmatnya masih diperlukan Selangor.

Selain bintang-bintang Selangor FC kekal, turut bakal mendapat tempat dalam pasukan utama merupakan empat pemain muda dari Selangor 2.

Mereka adalah pemain-pemain pertahanan Azrin Afiq, Zikri Khalili dan Harith Haiqal, dan penjaga gol Sikh Izhan. Kesemua mereka yang kini berusia 19 tahun pernah melakukan penampilan dengan pasukan utama musim ini, dan awal bulan ini membantu Malaysia layak ke peringkat akhir Piala Asia B-23 tahun hadapan. Izhan pula kini sedang menjalani ujian bersama beberapa kelab di Eropah.

Ingin bantu kami bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.