Johan jelas kenapa Mukhairi

Bakat-bakat muda Selangor pimpin Malaysia di Mongolia

Sebaik sebelum pasukan muda Malaysia berlepas ke Mongolia pada Rabu, 20 Oktober, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membuat pengumuman yang menyaksikan bintang-bintang Selangor pimpin Malaysia U-23 sepanjang minggu depan.

Kredit foto FAM

Skuad Harimau Muda yang dibimbing jurulatih dari Australia, Brad Maloney akan bersaing dalam Kumpulan J peringkat kelayakan Piala Asia B-23 2022. Mereka akan bertemu Laos pada 25 Oktober, tuan rumah peringkat kumpulan Mongolia pada 28 Oktober, dan menamatkan saingan dengan bertemu jaguh serantau Thailand tiga hari kemudiannya. Juara-juara kumpulan akan layak secara automatik, diiringi empat pasukan tempat kedua terbaik dan tuan rumah peringkat akhir, Uzbekistan.

Sebelum berlepas ke Mongolia, anak-anak buah Brad bertemu dengan presiden FAM Datuk Hamidin Amin di Wisma FAM, di mana keputusan mengenai ketua-ketua pasukan diumumkan. Dapat dilihat yang bintang-bintang Selangor pimpin Malaysia U-23 sepanjang minggu depan, apabila pemain tengah Mukhairi Ajmal dilantik sebagai kapten pasukan, manakala pemain-pemain pertahanan Zikri Khalili dan Harith Haiqal sebagai pembantu kapten. Ketiga-tiga mereka baru berusia 19 tahun.

Keputusan ini tidak mengejutkan kerana trio ini pernah beraksi bersama-sama dengan pasukan Malaysia B-19 sebelum menyertai pasukan simpanan Selangor dalam Liga Premier pada musim 2020.

Ajmal musim ini telah melakukan 22 penampilan dan menjaringkan satu gol kompetitif bersama pasukan utama Selangor. Ini seterusnya membawa kepada panggilan Harimau Malaya pertama, dan dua penampilan pertamanya di peringkat antarabangsa senior, dalam perlawanan-perlawanan persahabatan menentang Jordan dan Uzbekistan awal bulan ini.

Harith pula telah mendapat empat penampilan dengan pasukan utama sepanjang musim ini, dan kedua-dua mereka sempat mencetus perebutan di antara FAM dan kelab, bilamana kempen Piala Malaysia bakal bersambung pada hujung minggu depan.

Zikri telah mengumpul enam penampilan dalam Liga Super di awal musim, namun seterusnya hanya banyak memanaskan bangku simpanan. Tetapi dia dilihat begitu dahagakan aksi kompetitif, apabila beraksi cemerlang dalam aksi-aksi persahabatan Harimau Muda baru-baru ini.

Sudah pasti pengalaman mereka beraksi di peringkat senior dan peringkat antarabangsa bawah umur menyebabkan kualiti kepimpinan mereka ditagih Brad di atas padang nanti.

Di samping itu, Sikh Izhan, Azrin Afiq, Faiz Amer, Fahmi Daniel dan Saravanan Thirumurugan juga telah dipilih menyertai skuad kebangsaan ini. Kesemua mereka merupakan pemain pasukan simpanan Selangor, dan hanya Izhan pernah melakukan penampilan dengan pasukan utama.

Penyokong-penyokong Merah Kuning kini mahu melihat bintang-bintang masa depan ini membawa pasukan muda negara layak ke peringkat akhir dengan bangganya, dan berharap pula yang mereka tidak perlu menjalani kuarantin lama selepas pulang dari Mongolia, supaya mereka dapat lekas membantu kelab dalam saingan Piala Malaysia pula.

Perlu juga anak-anak muda ini sematkan di hati satu sentimen popular mengenai hubungan Selangor dan pasukan kebangsaan sejak zaman berzaman:

‘Kuat Selangor, kuatlah Malaysia’

Follow laman Facebook kami untuk mendapatkan perkembangan terbaru Selangor FC dan bolasepak negeri Selangor

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.