Brendan Gan atasi cabaran

Brendan Gan mahu tebus semula masa dan peluang

Setelah setengah tahun tidak dapat beraksi, kapten Selangor FC kini semakin hampir dengan kepulangan ke padang. Brendan Gan atasi cabaran besar dalam kerjayanya, menurut sebuah temuramah dengan The Star.

Kredit foto Selangor FC

Pada bulan Julai musim 2021, pemain tengah ini mengumumkan yang dia telah didiagnosis dengan barah testis, yang memerlukan dia menjalani rawatan kemoterapi, dan seterusnya pemulihan fizikal.

Proses ini berjalan lancar dan bintang Harimau Malaya kelahiran Australia ini telah turut menyertai latihan pra-musim 2022.

“Tiada perasaan yang lebih baik daripada berada di atas padang bersama rakan-rakan sepasukan. Ia tidak dapat digambarkan.

“Saya pernah mengalami kecederaan sebelum ini dan perlu berehat. Tetapi kali ini ia sesuatu yang berbeza. Ia bukan sesuatu yang saya dapat kerana bermain. Sukar untuk saya tidak dapat beraksi. Saya sangat bersyukur kerana dapat kembali bermain,” jelasnya kepada wartawan, T. Avineshwaran.

Brendan Gan atasi cabaran terbaru ini dengan cekal, sama seperti apabila dia mengalami kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) sebelum ini yang bukan sekali, malah dua kali.

Kini dia mahu kembali ke tahap terbaik, bukan saja bagi mendapatkan semula masa yang terhilang akibat keadaannya, tetapi juga pandemik.

“Saya mempunyai matlamat dan aspirasi untuk dipenuhi bersama kelab ini. Kami tidak dapat memberikan 100 peratus kerana Covid-19, ‘lockdown dan lain-lain. Jadi, banyak yang perlu kami tebus.”

Namun sebelum kembali mengambil tempatnya dalam pasukan, pemain berusia 33 tahun ini perlu mengatasi satu lagi cabaran, iaitu pemain-pemain lain yang berupaya mengisi posisi ‘midfielder’ seperti Zahril Azri Zabri, Mukhairi Ajmal, Halim Saari, Syahir Bashah, Aliff Haiqal dan Baha’ Abdel-Rahman. Tetapi Brendan mengalu-alukan halangan ini.

“Persaingan membuatkan semua orang bekerja lebih keras. Jika anda berpuas hati dan tahu bahawa tempat anda dalam pasukan terjamin, ketika itulah masalah akan berlaku.

“Lebih baik untuk bermain untuk pasukan yang setiap pemain perlu merebut tempatnya,” jelasnya.

Ingin bantu Merah Kuning 24/7 bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.