Shahrel Fikri dan Brendan

Brendan Gan beri isyarat semakin bersedia

Menuju kembalinya aksi Piala Malaysia 2021 dengan Selangor FC dijadualkan melayani kunjungan Kuching United pada 30 Oktober di Stadium MBPJ, harapan kembali memutik dalam kem Gergasi Merah dan juga di kalangan penyokong. Peminat akan kembali semula ke stadium, manakala ramai pemain yang tercedera kini telah pulih. Salah seorang dari pemain yang lama tidak beraksi ini, dilihat Brendan Gan kembali berlatih bersama-sama pasukan.

Kredit foto Selangor FC

Jika beberapa minggu lalu pemain tengah ini dilihat hanya bersenam di gimnasium pasukan menerusi muatnaik-muatnaik laman sosial Selangor FC, minggu ini dia dilihat sudah turun ke padang berlatih bersama-sama pasukan.

Pada Khamis, 28 Oktober, muatnaik kelab yang memaparkan pasukan utama mendengar taklimat ketua jurulatih, Karsten Neitzel di tepi padang turut menampilkan seorang pemain berkepala botak, namun pemain ini tidak memandang kamera. Ia disertakan kapsyen petikan lirik lagu Sudirman, ‘Pelangi Petang’.

Walau bagaimanapun dalam satu lagi muatnaik keesokan harinya, identiti pemain ‘misteri’ ini didedahkan, dan ia adalah kapten pasukan, Brendan Gan. Pemain Malaysia-Australia ini menunjukkan tanda bagus dengan ibu jarinya, yang sudah pasti membayangkan beliau akan pulang beraksi tidak lama lagi.

Buat anda yang mungkin ‘terlepas keretapi’, penampilan baru gondol Brendan ada kaitan dengan ketiadaannya selama ini. Pada penghujung bulan Julai tahun ini, Selangor mengumumkan yang dia disahkan menghidap barah testis dan telah memulakan rawatan kemoterapi, yang turut menyebabkan dia lama tidak beraksi sejak itu.

Rawatan kemoterapi kebiasaannya menyebabkan keguguran rambut, dan atas sebab ini Brendan mencukur rambutnya. Malah keputusannya ini turut diberi sokongan oleh rakan-rakan sepasukan dan pegawai pasukan, yang turut membotakkan rambut mereka.

Rawatan ini dilihat berjalan lancar dan dia telah pun memulakan kerja-kerja mendapatkan semula kecergasan. Kini, dia kembali semula ke padang dan sudah pasti kita akan dapat melihat semula aksi bintang Harimau Malaya ini tidak lama lagi.

Mungkin ini juga boleh menjadi pemangkin persembahan pasukan dalam baki kempen Piala Malaysia. Mana tahu, jika mereka dapat pergi jauh dan bertahan lama dalam saingan tahun ini, ia membolehkan Brendan sempat untuk kembali cergas dan dapat kembali beraksi.

Namun kita tidak harus tergesa-gesa, kerana kesihatan pemain berusia 33 tahun ini secara umumnya adalah apa yang paling mustahak, dan dia harus diberikan masa dan ruang yang cukup untuk kembali. Bagi kami di Merah Kuning 24/7, dapat melihat Brendan Gan kembali berlatih sudah menggembirakan hati dan membuatkan kami lebih optimistik menjelang baki saingan Piala Malaysia.

Ingin bantu kami bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.