Brendan Gan perlukan masa

Brendan perlukan masa sebelum kembali ke tahap dahulu

Biarpun sudah mula berlatih bersama rakan-rakan sepasukan, kapten pasukan Selangor FC masih memerlukan masa sebelum boleh beraksi seperti dahulu. Menurut ketua pegawai eksekutif kelab Johan Kamal Hamidon, Brendan Gan perlukan masa untuk cergas sepenuhnya setelah mengatasi barah yang dihadapinya.

Kredit foto Selangor FC

Pada pertengahan musim lalu, pemain tengah ini mengesahkan yang dia didiagnosis menghidapi barah testis, dan segera menjalani rawatan kemoterapi. Rawatan ini dilihat berjalan lancar dan Brendan kini telah kembali berlatih bersama-sama pasukan.

Namun kemoterapi yang dilalui pemain berusia 33 tahun ini tidak dapat dielak dari meninggalkan kesan terhadap fizikal beliau.

“Alhamdulillah, Brendan telah pulih dari penyakit, dan cabaran terbesar dia kini adalah untuk mengembalikan kecergasan seperti sebelum ini. Kerana kesan sampingan kemoterapi, pernafasan dan kapasiti paru-parunya kurang.

“Tapi sejak dua bulan lalu dia bertungkus lumus untuk memulihkan kecergasan dan ia memang akan makan masa. Insya Allah dalam sebulan hingga enam minggu Brendan akan berada di tahap sama baik sebelum ini.

“Dia akan terlibat dalam musim ini dan memainkan peranan yang sangat penting, saya percaya dia akan lakukan ‘comeback’,” jelas Johan.

Dan tiada sambutan yang lebih baik buat kepulangan bintang Harimau Malaya ini, selain dari jersi tempat lawan 2022 yang bertemakan perjuangan menentang kanser.

Majlis ini dijalankan di Sunway Pyramid Convention Centre pada Jumaat, 4 Februari bersempena Hari Kesedaran Kanser Sedunia, dengan jersi ‘away’ musim ini menampilkan simbol reben solidariti menentang barah, dan warna-warna semangat dan keberanian.

Majlis tempoh hari yang bertemakan “Lets Cope with A Neon Hope” turut disertai pihak-pihak seperti Sunway Medical Centre, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dan Majlis Kanser Nasional (MAKNA) yang turut menjalankan aktiviti-aktiviti imbasan kesihatan dan kesedaran.

Setiap jersi yang terjual akan menyumbangkan RM5 kepada NCSM dan MAKNA, malah Selangor telah turut menyumbangkan RM15,000 kepada kedua-dua organisasi ini dalam majlis ini.

Walaupun Brendan Gan perlukan masa, dia turut berkongsi pengalaman beliau sebagai pesakit kanser.

“Saya bertuah kerana berjaya melawan penyakit ini dan saya berterima kasih kepada kelab, rakan-rakan sepasukan, penyokong dan pihak media yang banyak memberikan saya kekuatan disaat saya mengalami kesukaran.

“Walaupun hanya teks apa khabar dari rakan-rakan sudah cukup membantu saya untuk berjuang dan sejujurnya ia banyak memberikan saya semangat dan walaupun kecil, itulah pentingnya sokongan dari rakan-rakan.

“Saya juga bertuah kerana melakukan pemeriksaan lebih awal kerana menurut doktor yang merawat saya, jika saya terlambat membuat pemeriksaan, saya mungkin berada dalam keadaan yang lebih buruk,” kongsi kapten Selangor FC itu seperti yang dipetik dari Cakap Sukan.

Ingin bantu Merah Kuning 24/7 bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.