Caion ketahui Selangor FC

Caion ketahui Selangor dari seorang bekas bintang Gergasi Merah

Salah seorang pemain import baru Selangor FC, Herlison Caion akhirnya telah bersedia untuk menyertai latihan pra-musim 2022. Penyerang ini juga sempat ditemuramah jabatan media kelab, di mana didedahkan yang Caion ketahui Selangor FC dari seorang bekas bintang pasukan ini.

Kredit foto Selangor FC

Antara jawapan-jawapan yang diberikan pemain berusia 31 tahun ini adalah mengenai kebolehan peribadi beliau.

“Saya bermain sebagai seorang ‘centre-forward’, ataupun sayap kiri atau kanan, tetapi lebih banyak sebagai ‘centre-forward’ dalam tahun-tahun kebelakangan. Tapi saya tiada masalah bermain di mana-mana posisi.

“Saya ada kekuatan fizikal yang penting dalam perebutan, dan juga kelajuan. Kaki kanan saya kuat, tapi jika situasi memerlukan, kaki kiri saya tak pernah mengecewakan,” jelas pemain yang pernah beraksi dalam liga Thailand ini.

Dijelaskan juga yang Caion ketahui Selangor FC dari seorang rakan senegaranya dan bekas bintang Gergasi Merah, iaitu Paulo Rangel. Paulo beraksi untuk Selangor dalam musim 2014, dan memenangi anugerah kasut emas Liga Super Malaysia musim itu.

“Saya tahu sedikit sebanyak mengenai kelab ini kerana saya pernah bermain dengan Paulo yang juga pernah bermain di sini.

“Kelab ini banyak sejarah dan trofi, dan akan cipta lebih banyak kemanisan baru. Kelab ini layak mendapatkannya. Ia ada struktur dan tahap profesionalisme yang dicemburui kelab-kelab Malaysia dan luar negara,” jawab Caion.

Aksi terbarunya adalah bersama Muangkan United dalam divisyen dua liga Thailand, dalam separuh pertama musim 2021/22. Dia beraksi dalam 17 perlawanan dan menjaringkan 12 gol.

Dia didatangkan sebagai mengisi kekosongan yang ditinggalkan penjaring terbanyak Liga Super musim 2020 dan 2021, Ifedayo Olusegun yang menerima tawaran lain yang lebih lumayan.

Caion akan menyarung jersi nombor 10.

Selain Caion, Gergasi Merah telah turut mendatangkan pasangan pasukan kebangsaan Jordan, pemain pertahanan Yazan Al-Arab dan dan pemain tengah Baha’ Abdel-Rahman, di samping pemain import sedia ada Safuwan Baharudin. Ini bermakna ada satu lagi slot pemain asing untuk diisi pasukan utama bagi musim ini.

Ingin bantu Merah Kuning 24/7 bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.