Dua dos vaksin Covid-19

Dah dapat dua dos, boleh turun ke Stadium MBPJ?

Mungkin ini bakal membawa berita gembira buat penyokong-penyokong bolasepak Malaysia secara umumnya, dan peminat Selangor FC khususnya. Menurut satu muatnaik laman sosial yang dilakukan oleh penganjur pertandingan Malaysian Football League (MFL), organisasi itu sedang berusaha memujuk Kementerian Kesihatan. Apa yang diminta mereka adalah supaya penyokong yang telah mendapat dua dos vaksin virus Covid-19 dibenarkan hadir menonton perlawanan liga Malaysia di stadium.

Presiden MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan diberitakan telah melawat Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang baru dilantik ke portfolio ini selepas pertukaran Perdana Menteri dan kabinet kerajaan pada bulan Ogos lalu.

Menurut laporan MFL ini, Ghani mengemukakan permohonan cadangan Prosedur Operasi Standard (SOP) Liga Malaysia 2021, yang turut menyertakan kepulangan penyokong ke stadium, bagi mereka yang telah lengkap dua dos vaksin.

Khairy sebelum ini memegang portfolio Menteri Sains dan Teknologi, dan pernah juga menjawat jawatan Menteri Belia dan Sukan. Beliau juga pernah terlibat secara langsung dalam industri bolasepak negara sebagai presiden kelab UPB-MyTeam (yang kini telah bungkus) sebelum kemudiannya diundi sebagai naib presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Walaupun masih jauh untuk diperkatakan, sudah pasti tindakan proaktif MFL ini disambut baik peminat di seluruh negara, selari dengan kebenaran untuk ‘dine-in’ di restoran-restoran dan berkunjung ke premis-premis perniagaan. Biarpun kawasan Lembah Klang kekal sebagai kawasan paling teruk dilanda wabak Covid-19 di Malaysia, laporan terbaru menyatakan yang 68.8 peratus dari keseluruhan penduduk Lembah Kelang telah lengkap menerima vaksinasi.

Tambahan pula, Khairy sendiri baru-baru ini menyatakan bahawa negara akan memasuki fasa endemik wabak ini, atau “hidup bersama virus ini” bagi membolehkan sektor-sektor dapat kembali beroperasi.

Pada musim ini, penyokong Selangor hanya sempat hadir ke Stadium MBPJ menonton empat perlawanan; menentang KDA FC, Perak FC, Petaling Jaya City dan Sabah FC. Walaupun saingan liga kini berbaki hanya dua perlawanan, masih ada saingan Piala Malaysia yang akan dilangsungkan selepas tamatnya liga. Pasti penyokong berharap supaya kesabaran mereka akan diberi ganjaran kebenaran kembali ke stadium bagi edisi 100 tahun kejohanan ini.

Baca juga: Preview: Sabah FC lwn Selangor FC

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.