Danial Asri ada kualiti

Danial Asri ada kualiti penyerang utama Selangor

Dengan ketiadaan mesin pencetak gol Selangor FC, Ifedayo Olusegun dalam perlawanan menentang Kuching City pada malam Sabtu, jurulatih Karsten Neitzel dilihat mengambil keputusan berani dengan menurunkan seorang pemain yang sedang meningkat naik sebagai penyerang utama. Setelah tamat 90 minit dengan kemenangan 5-1 buat pasukan tuan rumah, terbukti yang keputusan Karsten tepat dan Danial Asri ada kualiti penyerang utama Selangor di masa depan.

Walaupun dilihat bermain sedikit statik dalam separuh masa pertama melainkan percubaannya yang membawa kepada gol pertama Selangor oleh Hein Htet Aung, selepas waktu rehat dia menukar corak permainan dengan banyak berlari dari bawah mengejar bola dan menekan pertahanan lawan.

‘Awareness’ dan sikap tidak berputus asa yang ditunjukkan pemain berusia 21 tahun ini (dan juga kerajinan pertahanan kiri Jordan Ayimbila) membuahkan hasil apabila perlawanan memasuki tempoh satu jam, apabila dia menghidu peluang dari bola muntah penjaga gol lawan Iqbal Suhimi dan berjaya menjolok masuk bola bagi meletakkan Gergasi kembali di depan.

Hanya beberapa minit selepas itu, dia mempamerkan kerja keras pula, menghambat hantaran jauh dari bawah oleh Alex Agyarkwa yang menyebabkan dia dikasari pemain lawan dan dihadiahkan sepakan penalti, yang kemudiannya disempurnakan Safuwan Baharudin.

Sebelum dia dikeluarkan untuk direhatkan, Danial menambah gol peribadi kedua, menolak masuk bola yang tertampan ke hadapannyahasil satu lagi kesilapan Iqbal. Tidak perlu merembat kuat, dia sekadar menolak masuk bola di celah-celah pertahanan, tiang gol dan jangkauan tangan penjaga gol itu, bagi membawa Selangor selesa di hadapan.

Keempat-empat gol tadi ada penglibatannya, hasil kualiti individu yang dimilikinya. Dan kualiti ini menunjukkan yang Chang mampu menjadi penyerang utama anak tempatan bagi Selangor di masa depan, setaraf Azman Adnan, Rusdi Suparman, Zainal Abidin Hassan dan juga Amri Yahyah.

Sedang penyerang-penyerang tempatan semakin payah mencari makan dalam liga Malaysia kerana faktor fizikal awang import yang ditagih pasukan-pasukan, Danial harus memperkukuhkan lagi kelebihan yang sudah dimilikinya seperti kelajuan, kerja keras, ketajaman dan kebijakan dalam mencari ruang di depan gol.

Malah dia juga harus mengasuh dirinya untuk sedikit tamak dan sentiasa dahagakan gol jika mahu menjadi seorang penyerang tulin. Sudah pasti penalti yang dimenanginya pada malam Sabtu itu diambil Safuwan yang lebih berpengalaman atas arahan jurulatih, tetapi dia harus berani mengambil tanggungjawab, dan juga risiko, sebagai penyerang utama pasukan, dan tidak boleh lagi menyorok di belakang rakan sepasukan. Senang cerita, dia harus bertanyakan kepada Ifedayo; kalau pemenang kasut emas liga itu yang memenangi sepakan penalti, adakah dia akan merelakan sepakan itu diambil oleh pemain lain?

Mungkin terlalu awal untuk pemain dari Rawang ini untuk dijulang, tetapi dia dilihat konsisten dan menunjukkan peningkatan sejak diserap ke pasukan utama di awal musim. Tiga gol dalam saingan Liga Super, dan kini dua dalam Piala Malaysia pula. Dan mungkin tidak diketahui ramai, menurut pegawai-pegawai kelab, Chang memang komited di dalam dan juga di luar padang.

Namun dia masih dalam tempoh belajar buat masa ini. Danial Asri ada kualiti, seperti yang ditunjukkannya sepanjang musim, dan kualiti ini harus diasah lagi dalam saingan Piala Malaysia dengan membantu pasukan pergi sejauh yang mungkin.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.