Liga Super mengandungi Selangor FC

Seorang lagi pemain Selangor alami kecederaan ACL

Belum sempat Selangor FC lega sepenuhnya dengan kepulangan pemain-pemain yang dahulunya tercedera menjelang baki saingan Piala Malaysia 2021, seorang lagi pemain menjadi mangsa kecederaan jangka panjang. Menurut pengumuman kelab, pemain pertahanan R. Dinesh alami kecederaan ACL atau ‘anterior cruciate ligament’ baru-baru ini.

Perkembangan mengecewakan ini diumumkan kelab dalam preview bagi perlawanan Kumpulan B menentang Kuching City, yang diterbitkan di laman sesawang rasmi pada Sabtu, 30 Oktober. Tiada maklumat lanjut diberikan mengenai kecederaan ini, hanya ia telah berlaku dalam sebuah aksi persahabatan Gergasi Merah baru-baru ini, semasa tempoh pertandingan berehat hampir sebulan.

Semenjak menyertai pasukan di awal musim dari Pahang, nasib memang tidak menyebelahi pemain berusia 23 tahun ini. Dari awal-awal lagi dia dibelenggu masalah kecederaan dan kecergasan, menyaksikan dia hanya melakukan 11 penampilan dalam Liga Super dan satu dalam Piala Malaysia sepanjang musim.

Namun sudah pasti kecederaan terbaru ini sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai kebolehan jabatan kecergasan kelab yang bertanggungjawab mempersiapkan pemain-pemain. Begitu ramai bintang-bintang Gergasi Merah tercedera musim ini sama ada jangka pendek, sederhana atau jangka panjang. Seperti yang diketahui, Tim Heubach dan Shahrel Fikri telah disisihkan lama, walaupun dilaporkan yang Shahrel kini sudah pulih. Namun Syahmi Safari belum kembali cergas dari kecederaan yang dihadapinya dalam perlawanan menentang Terengganu FC.

Malah ini bukan satu-satunya kes kecederaan ACL tahun ini; di awal musim, pemain tengah Halim Saari turut mengalami kesakitan yang sama dan kini sedang melalui proses rehabilitasi.

Sudah pasti krisis kecederaan yang menimpa pasukan ini harus diteliti oleh pengurusan kelab, apabila ia kerap menyebabkan pasukan jarang dapat beraksi dengan kekuatan sebenar. Tambahan pula, baki kempen Piala Malaysia akan datang akan menyaksikan semua pasukan beraksi dalam empat perlawanan peringkat kumpulan dalam tempoh tidak sampai dua minggu, sebelum berlangsungnya peringkat kalah mati pula tidak lama selepas itu. Sudah pasti pemain-pemain perlu berada di tahap yang terbaik bagi mengharungi tempoh ini.

Kami ucapkan semoga cepat sembuh buat Dinesh alami kecederaan ACL, dan dapat kembali beraksi di tahap sebenar beliau sebelum menyertai Selangor.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.