Selangor FC mangsa 'fake news'

Tak perlulah sibukkan orang lain

Dalam dekad ketiga abad ke-21, gejala ‘fake news’ ataupun berita palsu semakin menjadi-jadi, apatah lagi penyebarannya dapat dilakukan melalui medium semudah memiliki akaun Facebook.

Tidak dapat tidak, fenomena ini turut melanda bolasepak Malaysia secara umumnya, dan pasukan Gergasi Merah secara khusus. Namun agak hairan juga bila difikirkan, kenapa sebuah pasukan tangga kelima dalam liga negara yang berkedudukan ranking ke-154 yang begitu galak difitnah pihak ini. Tuduhan-tuduhan yang dibuat juga nampak tidak berasas, apatah lagi mahu dikepilkan sekali buktinya.

Harus kita akui hanya beberapa hari selepas Hari Merdeka ke-64, bahawa konsep ‘kedaulatan undang-undang’ di negara ini merupakan satu konsep kosong semata-mata, dan mereka yang berbuat salah acap kali bebas untuk mengulangi perbuatan mereka di masa akan datang.

Hanya satu nasihat yang boleh diberikan, dan dalam bahasa mudah ia adalah ‘tak perlu sibukkan hal orang lain’. Namun begitu, nasihat ini sebenarnya bukan disasarkan kepada satu pihak saja; penyokong Selangor FC perlu turut menghadamkannya.

Memandangkan pihak yang menyebarkan fitnah ini memang diketahui tak makan saman, tiada apa yang kita boleh lakukan, malahan lebih memburukkan keadaan, bertindakbalas ke atas bentuk-bentuk provokasi ini hanya merugikan kita sendiri.

Tindakan pertama yang perlu kita ambil adalah untuk tidak mempercayai apa-apa pun pernyataan yang dikeluarkan, memandangkan fitnah-fitnah sebelum ini pun terbukti hanya sekadar tuduhan melulu. Buat bodoh saja! Tak usahlah ditanya pula dalam ruangan-ruangan komen laman sosial kelab, ‘admin-admin’ laman ini banyak lagi kerja lain nak diselesaikan.

Yang keduanya, jangan kongsikan tawan skrin (screenshot) tuduhan-tuduhan ini, sama ada di ruangan komen laman sosial kelab atau pun di ‘group’ penyokong di WhatsApp atau Facebook. Dilihat ada ‘fanpage’ Selangor di luar sana yang turut gemar kongsi muatnaik fitnah, semata-mata untuk menaikkan darah penyokong lain dan mengaut ‘engagement’ melalui komen-komen. Ia hanya menyebabkan rasa sakit hati, dan juga membuang masa melayan fitnah. Banyak lagi kandungan yang berfaedah untuk dikongsikan, dan banyak lagi cara untuk dapat ‘engagement’ kalau bukan niat nak kerja senang.

Penting juga, jangan dilawan tuduhan-tuduhan ini di atas talian, kerana ia boleh membawa tindakan undang-undang. Telah pun berlaku penyokong-penyokong pasukan lain ditahan polis atas sebab-sebab yang menghairankan (memang negara dunia ketiga!), dan kita tidak mahu ini terjadi kepada kita. Yuran guaman bukannya seratus atau dua ratus Ringgit. Harus diingat, kegiatan ‘troll’ dan ‘banter’ atas talian adalah permainan hanya untuk mereka yang mampu menggaji ‘cybertrooper’.

Namun apa yang paling penting, paling mudah, namun gagal dilakukan ramai penyokong, adalah supaya kita semua menggunakan satu fungsi yang ada pada hampir kesemua laman sosial. Bila nampak saja fitnah-fitnah terbaru, jangan buang masa, cari butang ‘unfollow’, ‘mute’, ‘hide’ dan ‘block’ akaun-akaun fitnah ini. Samak saja ‘timeline’ kita demi kesihatan mental.

Sebenarnya, pihak yang sepatutnya mengambil tindakan ke atas fitnah-fitnah ini adalah pengurusan kelab sendiri. Di laman sosial kelab, ‘admin’ harus peka terhadap pencerobohan akaun-akaun palsu yang membuat onar di situ. Kita faham mereka banyak tugas lain, tapi panas hati pula bila dilihat anasir jahat bebas di ‘rumah’ kita sendiri.

Kredit foto Selangor FC

Seterusnya merupakan langkah yang paling penting, buat penulis. Kelab harus mula mengambil tindakan undang-undang terhadap puncanya, kerana ia bukan sekadar suara nakal. ‘Fake news’ yang tidak dicabar akan menyebabkan ia dipercayai mereka yang tidak cakna dengan realiti bolasepak tempatan, dan ini mungkin terdiri dari bakal-bakal penaja dan rakan-rakan kongsi perniagaan. Jika jenama Selangor FC tidak dilindungi, ia hanya akan dilihat sebagai cap ayam dan dihindari oleh firma-firma yang gah. Kalau ini berlaku, mungkin yang tinggal hanya syarikat-syarikat MLM, ‘scammer’ dan ah long yang mahu menaja kelab ini.

Melalui isi di atas ini, dapat dilihat mengapa pemfitnah ini melakukan apa yang mereka lakukan. Mereka takut dengan pembinaan semula yang dilakukan Selangor, yang beracuan kelab moden sebenar dan dijalankan secara berhemah. Tidak ada tajaan bersifat ‘pulas tangan’, ambil tanah rakyat dan berbelanja besar-besaran tanpa ada pulangan. Jika dibiarkan berjalan, sudah pasti ‘King of Malaya’ akan kembali beraja di Malaysia tidak lama lagi. Jadi fitnah pun disebarkan dengan niat untuk menimbulkan syak wasangka di kalangan penyokong dan juga penaja berpotensi.

Dari ini juga dapat kita lihat bagaimana episod ini bakal berakhir; ia akan tamat sendiri apabila mereka kehabisan sumber untuk mengekalkan istana pasir dan ‘house of cards’ mereka. Apabila ini berlaku, ‘fake news’ yang mereka timbulkan hanya dianggap sebagai racauan orang gila oleh semua orang. Ini pasti akan berlaku, cuma yang belum pasti sama ada cepat atau lambat.

Turut ingin dipersoalkan di sini adalah peranan media massa negara. Setiap kali ‘fake news’ baru muncul, ada antara mereka yang pasti memberikan ruang dan masa untuk mengulanginya, sedangkan tugas media adalah untuk menganalisa tuduhan sama ada betul atau tidak, dan juga memberikan pihak yang dituduh peluang untuk membalas segala dakwaan. Kalau mereka sekadar menulis semula dakwaan, mereka bukan wartawan, hanyalah ‘mouthpiece’. Tak hairanlah yang kredibiliti wartawan-wartawan dan akhbar Malaysia semakin terhakis.

Sebagai pengakhir kata, ingin penulis ungkapkan satu pepatah Amerika. “Jangan bergusti dengan badak dalam lumpur, kita terpalit selut, tapi badak seronok”. (Diolah sedikit demi sensitiviti setempat) Usahlah kita pedulikan kata orang, makin mereka seronok kerana mereka mendiami minda kita secara sewa percuma. Selangor berada di landasan yang betul, walaupun adakalanya berprestasi longlai di atas padang, kerja-kerja pembinaan semula di luar padang berjalan dengan baik dan mengikut aturan. Kekal menyokong pasukan secara bijak, dan persetankan yang lain-lain.

Baca juga: Wak lwn Q, persaingan tahun 2022?

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.