Fazly Mazlan mahu bangkit

Fazly mahu kembali ke pangkuan Harimau Malaya

Selangor FC baru-baru ini rancak mengumumkan pemain-pemain baru mereka bagi musim 2022. Salah seorang dari mereka, pemain pertahanan kiri Fazly Mazlan mahu bangkit bersama Gergasi Merah.

Kredit foto Selangor FC

Pemain berusia 28 tahun ini pernah beraksi cemerlang dengan Johor Darul Ta’zim dan memenangi banyak trofi, termasuk Piala AFC 2015, sebelum mendapat tempat dalam pasukan kebangsaan Malaysia. Namun selepas itu kerjayanya malap, jarang mendapat tempat sebelum dipinjamkan ke Sri Pahang pada musim 2021.

Baru-baru ini Fazly diumumkan menyertai Selangor dengan kontrak dua tahun, dan bakal beraksi dengan pasukan utama.

Dalam sebuah temubual dengan Malaysian Football League (MFL), Fazly Mazlan mahu bangkit bersama Gergasi Merah, dan menjadikannya platform untuk kembali ke kancah antarabangsa.

“Daripada apa saya perhatikan sejak ke sini, kualiti yang dimiliki sebahagian besar pemain muda Selangor di sini cukup bagus dan sememangnya ini satu perkara baik untuk pasukan.

“Saya akan cuba membantu mereka serta pasukan dengan segala apa yang termampu kerana saya berasakan pasukan ini ada potensi.

“Bagi sasaran diri sendiri, saya berasakan ini waktu terbaik mendapatkan kembali tempat dengan pasukan kebangsaan jika mendapat minit permainan yang cukup di sini,” jelasnya.

Fazly turut mendedahkan satu fakta yang tidak diketahui ramai; walaupun dia dibesarkan di negeri Johor, beliau sebenarnya dilahirkan di Selangor.

“Sememangnya gembira dapat sertai pasukan besar seperti Selangor kerana sejak dari kecil lagi saya sudah meminati Selangor malah sering kali ikuti perkembangan mereka.

“Jadi apabila dapat bersama Selangor, saya rasa seperti satu penghargaan besar buat karier malah secara kebetulan saya sendiri dilahirkan di Hospital Besar Klang sebelum orang tua saya berpindah ke Muar dan dibesarkan di Johor,” katanya.

Di samping Fazly, Selangor mendatangkan beberapa pemain baru pasukan utama bagi musim depan. Pemain-pemain asing baru adalah Caion, Yazan Al-Arab dan Baha’ Abdelrahman. Sementara pemain tempatan baru pula adalah Zahril Zabri dan Sam Somerville.

Ingin bantu Merah Kuning 24/7 bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.