Bintang muda Selangor panjangkan

Gaya permainan Selangor perlu perubahan untuk tarik kepulangan penyokong

Akhirnya apa yang ditunggu-tunggu telah tiba; penyokong-penyokong akan dibenarkan kembali menghadiri perlawanan oleh Malaysian Football League (MFL), bermula dari baki saingan Piala Malaysia, hujung bulan nanti. Seperti penyokong, pastinya Selangor FC juga turut menanti-nantikan kebenaran dari kerajaan Malaysia dan MFL ini, setelah setahun lebih terpaksa beroperasi tanpa kutipan hari perlawanan. Tapi jika kelab jujur mahu memancing penyokong kembali ke Stadium MBPJ, ada satu aspek yang perlu mereka beri perhatian, iaitu gaya permainan Selangor.

Kredit foto utama Selangor FC

Isu yang diutarakan ini telah dapat dilihat sepanjang musim ini, di mana dalam bahasa mudah permainan Gergasi Merah dilihat membosankan.

Terbaru Merah Kuning 24/7 membangkitkan isu ini adalah dalam kupasan perlawanan menentang Terengganu FC baru-baru ini. Dalam perlawanan ini, jurang kualiti permainan (sebagai satu bentuk hiburan) di antara kedua-dua pasukan begitu ketara.

Sang Penyu melakukan hantaran-hantaran pendek untuk membuka ruang sambil membuat larian-larian yang menunjukkan kombinasi baik semasa menyerang, dan menggunakan ‘high pressing’ semasa bertahan. Gergasi pula dilihat kehabisan idea, sentiasa lambat, bermain secara tiada ‘intensity’ dan selalu teragak-agak seolah-olah tidak diberikan latihtubi transisi yang cukup oleh ketua jurulatih, Karsten Neitzel.

Kelemahan-kelemahan ini seterusnya menyebabkan timbul tabiat kerap menghantar bola ke belakang, yang lantas merosakkan kualiti permainan. Dalam perlawanan menentang Terengganu tadi, ada kalanya pemain pertahanan menolak semula bola kepada penjaga gawang, Khairulazhan Khalid apabila ditekan pemain lawan, walaupun Azhan baru sahaja melorongkan bola kepada mereka.

Namun jangan salah anggap, kritikan ini hanyalah terhadap kebolehan gaya permainan Selangor untuk menghiburkan penyokong, bukan terhadap kualiti dari segi memenangi perlawanan, yang sebenarnya tidak jauh berbeza dari pasukan-pasukan lain di Malaysia.

Agak menghairankan juga sebenarnya apabila kelab yang barisan teknikalnya diterajui dua warga Jerman (Karsten dan pengarah bolasepak kelab, Michael Feichtenbeiner) tidak dapat menampilkan gaya permainan yang menawan seperti yang diperagakan pasukan-pasukan dari negara Eropah itu.

(Tapi perlu diingatkan sekali lagi, menurut Feichtenbeiner apa yang diterapkannya di Selangor adalah DNA Selangor, bukannya DNA Jerman)

Salah satu punca Selangor tidak dapat bermain baik dan secara menghiburkan adalah ketiadaan kesebelasan utama tetap, akibat krisis kecederaan. Pastinya masalah kecederaan yang kerap berlaku ini adalah satu lagi isu yang perlu diselesaikan pengurusan kelab bagi membantu pasukan utama memperbaiki permainan mereka.

Mungkin ada yang akan mempersoalkan kritikan ini dengan membalas bahawa usaha mencari kemenangan adalah lebih penting dari menghiburkan penonton, apatah lagi dengan pe’el penyokong di Malaysia yang menjadikan kemenangan pasukan sebagai penentu kehadiran mereka pada hari perlawanan. Tetapi Merah Kuning tahun ini dilihat tidak konsisten kebolehan mereka untuk menang (10 kemenangan dari keseluruhan 24 perlawanan kompetitif setakat ini), jadi ada baiknya gaya permainan yang menghiburkan dijadikan ‘selling point’ utama untuk menarik semula kehadiran penyokong.

Walau bagaimanapun, perlu diakui yang usaha menerapkan gaya permainan Selangor yang baru bukanlah sasaran yang boleh dicapai dalam tempoh sebulan, jadi jika cadangan ini diterima, ia adalah sesuatu yang hanya boleh dilaksanakan untuk musim 2022.

Follow laman Facebook kami

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.