Hakim pulih dan sedia kembali beraksi

Walaupun saingan musim 2022 belum bermula secara rasmi, aksi-aksi persahabatan yang dilalui Selangor FC sebagai sebahagian dari persediaan pra-musim sudah pun memakan ‘korban’. Seorang pemain pasukan utama telah dilihat tercedera teruk lebih kurang dua minggu lalu, namun Nor Hakim Hassan pulih semula untuk kembali menyertai latihan berpasukan.

Kredit foto Selangor FC

Pemain serangan itu dilaporkan mengalami gegaran otak atau ‘concussion’ dalam perlawanan persahabatan menentang Negeri Sembilan (NSFC) pada 30 Januari lalu, dan terpaksa dikeluarkan dari perlawanan.

Sudah pasti insiden ini merisaukan peminat kerana Hakim boleh dikatakan baru sahaja pulih dari kecederaan ACL yang dialaminya pada musim 2020, manakala Gergasi Merah beberapa tahun kebelakangan ini mempunyai reputasi sebagai ‘rumah sakit’ pemain-pemain.

Namun perkembangan baru Hakim adalah positif, seperti yang didedahkan kelab di laman sosial mereka.

“Nor Hakim Hassan telah mengalami ‘concussion’ dan juga kecederaan pada bahagian tulang rawan telinga kiri ketika perlawanan persahabatan menentang NSFC yang lalu.

“Hakim telah melalui proses ‘Graduated Return to Play’, di mana pada mulanya beliau direhatkan sepenuhnya daripada aktiviti fizikal dan mengurangkan bebanan kognitif dalam 48 jam pertama.

“Setelah itu, beliau dinasihatkan untuk mempertingkatkan aktiviti seharian serta ditambahkan lagi dengan senaman aerobik ringan. Fasa seterusnya beliau memulakan senaman yang lebih spesifik untuk bola sepak bersama dua jurulatih kecergasan Coach Arul & Coach Yun.

“Menjelang hari kelapan selepas kecederaan, beliau kembali ke atas padang dengan imej yang baru dengan memakai ‘headgear’ yang berfungsi untuk memberi perlindungan pada bahagian telinga yang tercedera.

“Hakim kini dibenarkan untuk menjalani fasa latihan kontak penuh dan beliau juga akan menyertai aktiviti pasukan sepenuhnya seperti biasa.”

Penampilan terbaru pemain berusia 30 tahun ini persis seorang lagi pemain Selangor; Safuwan Baharudin. Musim lalu bintang Singapura ini mengalami kecederaan yang serupa dalam aksi Loga Super dan sehingga kini menyarung ‘headgear’ demi melindungi kepalanya setiap kali beraksi.

Sudah pasti penyokong Selangor lega mengetahui Hakim Hassan pulih semula dan tidak sabar mahu melihat aksinya bersama pasukan.

Ingin bantu Merah Kuning 24/7 bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.