4,500 di Stadium MBPJ

Hanya 4500 di MBPJ, persahabatan kekal tanpa penyokong

Menurut pengumuman terbaru Selangor FC, perlawanan di laman sendiri seterusnya, menentang Kuching City akan dihadiri penyokong hanya maksimum 4500 di Stadium MBPJ.

Kredit foto Selangor FC

Tempoh hari Merah Kuning 24/7 mencongak bahawa kebenaran kemasukan semula penyokong ke stadium yang diumumkan Malaysian Football League (MFL) tempoh hari akan membolehkan Stadium MBPJ dihadiri 7500 orang penyokong semasa perlawanan Gergasi Merah apabila kempen Piala Malaysia bersambung semula hujung bulan ini.

Namun pada Ahad, 17 Oktober, kelab mengumumkan yang perlawanan menentang Kuching pada 30 Oktober akan dibuka kepada hanya 4500 orang penonton. Jumlah yang jauh lebih rendah ini dikatakan adalah bagi membenarkan penjarakan sosial dikekalkan di tempat duduk, menurut ketetapan MFL dan lembaga stadium.

Di samping itu, seperti yang dinyatakan ketua pegawai eksekutif (CEO) kelab, Johan Kamal Hamidon tempoh hari, perlawanan-perlawanan persahabatan Selangor yang dijalankan sehingga 30 Oktober nanti tetap akan berlangsung tanpa kehadiran penyokong. Sebagai sebahagian dari kebenaran kemasukan semula penyokong, MFL turut membenarkan kelab-kelab membawa masuk penyokong bermula dari perlawanan-perlawanan persahabatan semasa Piala Malaysia sedang berehat kini.

Hanya penyokong berusia 18 tahun ke atas yang lengkap dos Covid-19 dan tidak memaparkan gejala jangkitan akan dibenarkan membeli tiket dan masuk ke stadium. Malah mereka yang berusia 60 tahun ke atas juga tidak digalakkan hadir.

Penyokong-penyokong juga dipesan supaya makan dan minum terlebih dahulu sebelum masuk, kerana syarat-syarat MFL melarang penjualan makanan dan minuman, dan aktiviti makan dan minum di dalam stadium.

Baca peringatan yang dikeluarkan kelab di sini.

Tiket perlawanan menentang Kuching, perlawanan ‘Tier 2’ akan dijual dengan harga RM30 bagi grandstand dan RM20 di tempat lain bermula 24 Oktober di TicketHotline. Setiap pembeli tiket hanya dibenarkan membeli dua keping tiket, dan setiap tiket harus disertakan nombor kad pengenalan atau pasport, yang wajib ditunjukkan sebelum masuk ke stadium.

Walaupun hanya dibenarkan hadir 4500 di Stadium MBPJ nanti, kelab turut mengambil kesempatan menasihati penyokong-penyokong Merah Kuning yang belum lengkap dos untuk melakukannya secepat mungkin, bagi membantu mengekang penularan wabak Covid-19 dan juga mempercepatkan kepulangan kemasukan penyokong dengan kapasiti penuh ke stadium pada masa depan.

Follow laman Facebook kami untuk mendapatkan perkembangan terbaru Selangor FC dan bolasepak negeri Selangor

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.