Hari jersi Selangor 2022

Hari jersi Selangor dilangsungkan Ahad ini dengan pelbagai aktiviti

Setelah kad keahlian Red Giants Team Card musim ini dilancarkan pada awal minggu, pada hujung minggu pula dijadualkan berlangsung satu lagi acara lumrah awal musim, iaitu Hari Jersi Selangor 2022.

Kredit foto Selangor FC

Setelah tidak dijalankan pada musim 2021 kerana wabak Covid-19, acara pelancaran jersi baru Selangor FC kembali tahun ini, dengan jersi laman sendiri (home) akan didedahkan dan dibuka untuk jualan. Acara ini akan berlangsung sepanjang hari Ahad, 16 Januari di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Sudah pasti penyokong-penyokong Selangor ternanti-nanti rupa jersi baru yang akan disarungkan pasukan bagi musim 2022, yang dapat mereka beli mulai hari Ahad. Namun walaupun kelab telah mengeluarkan beberapa video ‘teaser’ mengenainya, setakat ini masih belum didedahkan harga jualan.

Tetapi selain acara-acara berkenaan jersi, banyak lagi aktiviti yang akan dilangsungkan untuk penyokong. Peminat-peminat cilik dapat mengikuti klinik bolasepak yang akan turut dikendalikan oleh barisan kejurulatihan. Namun tempat adalah terhad dan pendaftaran boleh dilakukan di sini.

Sebuah lagi aktiviti adalah ‘penalty showdown’ di mana penyokong-penyokong berpeluang bertanding untuk merebut hadiah utama berjumlah RM2000 dan peluang menentang pemain-pemain Selangor.

Ia juga akan turut dihadiri dua orang pemain baru pasukan utama, pasangan bintang pasukan kebangsaan Jordan, Baha’ Abdel-Rahman dan Yazan Al-Arab. Malah pembeli produk digital baru Selangor, Red Giants Non-Fungible Collections akan berpeluang melawat bilik persalinan di Stadium MBPJ bersama-sama kedua-dua pemain asing ini.

Turut dijalankan adalah konsultasi fisioterapi percuma klinik fisioterapi kelab, Red Giants Physio Clinic yang diberikan oleh barisan doktor pasukan.

Dan semasa semua aktiviti ini berjalan, turut dibuka gerai-gerai makanan dan kegiatan-kegiatan lain yang diuruskan oleh penaja-penaja.

Jadi apa lagi penyokong Gergasi Merah, lapangkan jadual anda Ahad ini untuk menghadiri Hari jersi Selangor 2022. Namun sila maklum yang hanya mereka yang telah lengkap mendapat vaksin Covid-19 dapat hadir ke acara ini.

Ingin bantu Merah Kuning 24/7 bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.