Harith Haiqal rayu dilepaskan

Harith rayu dilepaskan, tapi kelab berkeras khidmatnya diperlukan

Seorang pemain muda Selangor FC telah menyatakan hasrat supaya dilepaskan kelab untuk beraksi di peringkat antrabangsa bawah umur. Pemain pertahanan, Harith Haiqal rayu dilepaskan supaya dapat menyertai Malaysia B-23 dalam saingan kelayakan Piala Asia AFC B-23 2022 pada penghujung bulan ini.

Kredit foto Persatuan Bolasepak Malaysia

Biarpun ramai pemain-pemain muda Gergasi Merah telah dibenarkan kelab untuk menyertai skuad Brad Maloney yang akan bertanding pada penghujung bulan ini, dua daripada mereka dilaporkan perlu kekal di Shah Alam bagi membantu Selangor dalam baki saingan Piala Malaysia yang akan bersambung pada 29 Oktober ini.

Mereka adalah Harith dan pemain tengah Mukhairi Ajmal, kedua-duanya berusia 19 tahun dan tonggak pasukan kebangsaan peringkat bawah umur.

Sedang Selangor mengalami krisis kecederaan yang semakin meruncing, kelab-kelab tidak wajib melepaskan pemain mereka ke saingan kelayakan ini kerana ia dilangsungkan di luar jendela antarabangsa FIFA.

Namun entah bagaimana, Harith boleh mengeluarkan komen kepada media yang bertentangan dengan kepentingan kelab. Dia berkata kepada New Straits Times yang saingan Piala Malaysia berlangsung setiap tahun. (Saingan Piala Asia B-23 berlangsung dua tahun sekali, dan edisi kali ini tidak membawa kelayakan ke Sukan Olimpik).

“Peluang saya masih 50-50 selepas perbincangan dengan pengarah bolasepak kelab Michael Feichtenbeiner dan ketua jurulatih Karsten Neitzel. Saya mengimpikan untuk bermain untuk negara, dan jika saya hanya dilepaskan beberapa hari sebelum saingan pun, saya masih akan sertai peringkat kelayakan.

“Piala Malaysia berlangsung setiap tahun, dan saya masih berpeluang sertainya tahun depan. Namun saingan kelayakan di Mongolia adalah peluang untuk saya menyinar kerana saya ada kemungkinan saya tak akan dapat panggilan [pasukan kebangsaan] lagi di masa depan.

“Maloney mahukan saya tapi Selangor banyak isu kecederaan. Saya harus tunggu dan lihat jika saya dapat pelepasan untuk bermain dalam saingan kelayakan,” jelas Harith dalam laporan yang diterbitkan pada Jumaat.

Namun dalam satu laporan lain oleh wartawan yang sama, Farah Azharie pada hari berikutnya, kelab menyatakan yang Harith tidak akan dilepaskan.

“Kami bangga yang ramai pemain kami dipanggil untuk tugasan antarabangsa dan kami sentiasa galakkan mereka untuk bermain dengan pasukan kebangsaan. Namun Piala Malaysia juga merupakan sasaran penting bagi kelab, dan kami mahu berikan persembahan baik. Pemain-pemain kami diperlukan untuk menampung kecederaan dalam skuad.

“Bagi kelayakan B-23 ini, kami telah lepaskan pemain-pemain dari pasukan simpanan untuk menyertai pasukan kebangsaan,” jelas pengurus pasukan, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid.

Dalam sebuah tulisan pendapat yang Merah Kuning 24/7 terbitkan semalam, kami menyatakan pendapat bahawa Mukhairi dan Harith tidak perlu dilepaskan kelab.

Namun perlu juga dipersoalkan tindakan Harith Haiqal rayu dilepaskan ini, mengeluarkan kenyataan media yang dilihat bertentangan dengan kepentingan kelab, apatah lagi sebagai seorang pemain berstatus pemain muda dengan hanya empat penampilan bersama pasukan utama musim ini.

Follow laman Facebook kami untuk mendapatkan perkembangan terbaru Selangor FC dan bolasepak negeri Selangor

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.