Jordan Ayimbila pasti mahukan Selangor juara Piala Malaysia

Sukar nak jadi juara kalau main seperti menentang Perak

Kita mula dengan perkara yang baik dahulu. Pemain-pemain Selangor berani menyatakan sasaran secara jelas bagi kempen Piala Malaysia tahun ini; mahukan Selangor juara Piala Malaysia. Tak ada lagi jawapan-jawapan klise yang ‘namby-pamby’ seperti “kami akan buat yang terbaik” atau “sasaran kami adalah menang satu perlawanan ke satu perlawanan dahulu”.

Kredit foto utama Malaysian Football League

Oh, ada satu lagi yang baik. Padang Stadium MBPJ dilihat bertahan baik walaupun hujan turun lebat dengan agak lama.

Harapnya ia kekal dalam keadaan baik apabila digunakan ‘teman serumah’, Petaling Jaya City (PJ City) malam nanti.

Tetapi yang tidak memuaskan hati adalah cara permainan Gergasi Merah, biarpun mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan pertama Kumpulan B mereka menentang Perak FC pada Ahad, 26 September. Kemenangan 1-0 itu dikutip hasil jaringan sepakan penalti Ifedayo Olusegun pada minit ke-79 perlawanan.

Menentang pasukan yang sudah dilaukkan dalam kedua-dua perlawanan Liga Super di awal musim, Merah Kuning dilihat bermain yakin dan menguasai perlawanan, jika sedikit membazir. Namun ini hanya bertahan 25 minit, apabila pemain tengah Oliver Buff terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan. Ini merupakan perlawanan pertamanya sejak tiga minggu, setelah terlepas perlawanan akhir liga akibat kecederaan.

Tak semena-mena, anak-anak buah Karsten kembali bermain seperti tak ada hala tuju, struktur dan organisasi seperti apabila mereka kalah kepada PJ City tempoh hari. Bahagian tengah ranap dan mula beri ruang kepada Perak.

Bahagian pertahanan pula gugup dan hampir-hampir bolos sebanyak dua kali, jika bukan kerana kerja keras Safuwan Baharudin. Nasib baik, Seladang tiada kualiti PJ City dan gagal menghukum Selangor.

Jika betul mereka mensasarkan kejuaraan Piala Malaysia edisi keseratus tahun dan tempat ke Piala AFC 2022, tidak seharusnya masalah-masalah kecil seperti ketiadaan seorang pemain (yang sejujurnya tidak beraksi di tahap cemerlang pun) dapat mengganggu persembahan mereka. Karsten sepatutnya sudah menyediakan Pelan B, C, D dan E untuk apabila ketiadaan pemain-pemain utama, dan pemain-pemain yang tinggal harus tahu apa yang mesti dilakukan dari segi posisi dan peranan. Jika layak ke peringkat kalah mati, mereka akan berhadapan dengan pelbagai lagi situasi yang tidak berpihak kepada mereka, dan mereka harus bersedia untuk menang menggunakan pelan sokongan.

Isu kecederaan juga terlalu kerap berulang sehingga Selangor jarang dapat turun dengan kekuatan penuh. Tim Heubach, Shahrel Fikri, Halim Saari cedera panjang, manakala R. Dinesh dan Nik Sharif Haseefy pemain-pemain baru yang langsung tidak dapat mengembalikan rentak setelah turut terpaksa berehat. Usaha Selangor juara Piala Malaysia ini dilihat sukar jika pemain-pemain utama terpaksa diketepikan dari kesebelasan utama.

Harapan penyokong Selangor sudah tentunya peningkatan dapat ditunjukkan dalam perlawanan seterusnya, menentang Terengganu FC di tempat lawan, sebelum proses pengukuhan strategi pasukan dan rawatan yang lebih rapi dapat dijalankan semasa kejohanan berehat sebulan bagi memberi laluan kepada pasukan Malaysia.

Namun janganlah teguran ini nanti dijadikan alasan untuk pasukan kembali tidak menyatakan sasaran perlawanan dan kejohanan secara jelas, kerana takut dikritik media dan penyokong bila gagal memenuhi objektif. Bagi penulis secara peribadi, keengganan menjelaskan sasaran kepada penyokong adalah ‘dosa’ yang lebih besar dalam bolasepak Malaysia dari kegagalan memenuhi mana-mana objektif.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.