Hein Htet Aung bangga

“Selangor Sampai Mati” – Hein Htet bangga dapat kekal

Musim 2021 menyaksikan beberapa orang bintang muda Selangor FC menampilkan persembahan meyakinkan bersama pasukan muda. Salah seorang dari mereka merupakan pemain yang berasal dari Myanmar yang menunjukkan kematangan dalam aksi Liga Super, dan baru-baru ini telah menandatangani kontrak jangka panjang bersama Gergasi Merah. Menurut sebuah hantaran di akaun Instagramnya, Hein Htet Aung bangga dapat kekal di Selangor.

Kredit foto Malaysian Football League

Baru-baru ini pemain tengah berusia 20 tahun ini diumumkan kelab sebagai salah seorang pemain berstatus muda yang telah memeterai kontrak jangka panjang baru, hasil peningkatan yang ditunjukkan beliau sepanjang musim.

Dia begitu bangga dengan perkembangan ini, dan menulis di laman sosialnya:

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada orang-orang yang mempercayai saya. Jurulatih Red Giants, pegawai, pengurusan, pemain dan peminat yang sangat baik kepada saya. Tidak mudah untuk kekal untuk seorang pemain muda dalam Liga bola sepak Malaysia. Tetapi entah bagaimana saya mendapat peluang untuk menempah 10 ‘assist’ dan 5 Gol secara rasmi dalam kedua-dua liga dan piala. Gergasi Merah mengalir dalam darahku.

“Saya dengan bangganya akan memakai jersi Raja Malaya (King of Malaya) tahun hadapan. Selangor Sampai Mati.”

Munkin coretan dalam Bahasa Melayu ini hanya diterjemah melalui ‘Google Translate’, tetapi sentimen yang disuarakan Hein Htet pasti kedengaran sempurna buat penyokong-penyokong Selangor.

Hadir dalam peringkat pra-musim 2021 sebagai pemain pasukan simpanan, dia tidak menunggu lama untuk meledak, menjaringkan gol sepakan percuma menentang PDRM FC dalam perlawanan pusingan pertama Liga Premier. Walaupun kelab tiada perancangan untuk membawanya naik ke pasukan pertama dengan segera, krisis kecederaan yang melanda pasukan Liga Super memaksa Hein Htet dan beberapa orang pemain muda lain untuk ‘naik pangkat’ pada awal musim 2021.

Bekas pemain Hanthawaddy United ini dilihat selesa dengan cabaran yang lebih sukar, mampu melakukan hantaran-hantaran baik dan bantuan gol, lalu berjaya mengekalkan tempat dalam kesebelasan utama pasukan utama sehingga akhir musim.

Secara keseluruhannya musim ini, dia telah melakukan 19 penampilan, menjaringkan tiga gol dan mencatatkan enam bantuan gol buat pasukan utama.

Malah graduan Akademi Bola sepak Myanmar ini turut telah menerima panggilan pasukan kebangsaan Myanmar bagi saingan Kejuaraan AFF 2020 yang akan bermula Ahad ini, 5 Disember. Dia belum pernah bermain untuk pasukan senior Myanmar, biarpun kerap dapat mewakili negaranya di peringkat bawah umur.

Kini kita berharap yang dapat Hein Htet Aung bangga dengan aksi di peringkat antarabangsa pula, dalam kejohanan yang akan berlangsung di Singapura.

Ingin bantu Merah Kuning 24/7 bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.