Selangor FC tunjuk keyakinan

Sertai Selangor pencapaian terbaik setakat ini buat Hein

Setelah hampir semusim bintang muda Myanmar Hein Htet Aung sertai Selangor FC, kerjayanya semakin menyerlah di Malaysia.

Pemain serangan berusia 19 tahun ini tidak perlu menanti lama untuk membuktikan keupayaannya. Hanya beberapa perlawanan dengan pasukan simpanan Selangor di Liga Premier selepas hadir di awal musim ini, dia diberi kepercayaan untuk bermain dalam divisyen satu.

Menepati reputasinya sebagai penyumbang bantuan gol terbanyak dalam liga-liga Asia Tenggara musim 2020 dengan sembilan ‘assist’, bekas pemain Hantharwady United ini menunjukkan kombinasi baik dengan penyerang Ifedayo Olusegun, telah melakukan enam ‘assist’ dan mengutip dua gol peribadi dalam saingan Liga Super.

Dalam sebuah temubual dengan penganjur pertandingan Malaysian Football League (MFL), dia menyifatkan yang keputusannya menyertai Selangor merupakan keputusan terbaik yang pernah dilakukannya dalam kerjayanya setakat ini.

“Saya ada sasaran tersendiri dalam kehidupan ini selaku pemain bola sepak profesional dan bersama Selangor, adalah salah satu pencapaian terbaik buat saya untuk setakat ini. Keputusan untuk bersama Selangor pada musim ini adalah tepat dan sejak dari awal, saya amat gembira berada di sini kerana segala-galanya berjalan dengan sempurna.

“Selangor merupakan salah sebuah pasukan yang besar dalam bola sepak Malaysia dan saya punyai pengalaman cukup menarik setakat ini dengan pasukan. Saya sentiasa mahu membantu rakan sepasukan mendapatkan kemenangan dalam apa jua perlawanan kerana Selangor saya sudah anggap menjadi sebahagian daripada diri ini,” katanya dalam artikel yang diterbitkan pada hari Isnin.

Dia juga menyatakan yang Liga Malaysia merupakan lonjakan yang baik bagi dirinya, setelah hampir setahun Htet Aung sertai Selangor.

“Intensiti di Liga Malaysia sentiasa tinggi dalam apa jua perlawanan dan sukar buat mana-mana pemain yang baharu sahaja bermain di sini,” ujar beliau.

“Sekiranya anda mahu bermain di Liga Malaysia, fizikal dan mental kita sentiasa kena kuat serta bersedia kerana semua pasukan yang bersaing adalah yang terbaik.”

Namun pada masa ini, sasarannya adalah memastikan Merah Kuning mara jauh dalam saingan Piala Malaysia, setelah mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Perak FC dan tumpas 2-1 kepada Terengganu FC dalam Kumpulan B.

“Kekalahan kepada Terengganu sememangnya menghampakan dan sudah semestinya kami mahu kembali kepada rentak kemenangan pada perlawanan akan datang.

“Saya percaya kami akan bertambah kuat sebaik saingan Piala Malaysia bersambung dan mahu mara sejauh mungkin bagi mencipta kejayaan buat Selangor,” kata anak muda Myanmar ini.

Dan dengan situasi sukan di Myanmar yang tidak menentu buat masa ini, ada baiknya kelab ambil kesempatan demi masa depan kedua-dua pihak!

Follow laman Facebook kami untuk mendapatkan perkembangan terbaru Selangor FC!

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.