Ifedayo Olusegun dilepaskan Selangor

Ini sebabnya Ifedayo dilepaskan Selangor

Setelah hangat diura-urakan mengenai perpindahan bintang Selangor FC Ifedayo Olusegun sejak beberapa minggu, akhirnya kelab telah mengesahkannya secara rasmi pada Jumaat, 26 November. Bagi penyokong-penyokong Gergasi Merah yang pastinya kecewa dengan pemergian penyerang ini, CEO kelab, Johan Kamal Hamidon ada menjelaskan kepada Merah Kuning 24/7 mengapa Ifedayo Olusegun dilepaskan Selangor.

Kredit foto Malaysian Football League

Dalam satu perbualan telefon, Johan menjelaskan bahawa Ifedayo telah tamat kontrak, dan pemenang kasut emas Liga Super dua kali berturut-turut itu telah mendapat tawaran yang lebih baik dari kelab lain.

Selangor ada cuba meyakinkan penyerang itu untuk kekal, namun tidak dapat memberikan tawaran balas yang setanding dengan tawaran luar.

“Ifedayo telah mendapat tawaran yang lebih lumayan dan kami tak dapat menandinginya, itu saja. Kenaikan gaji 30 peratus masih belum dapat menyaingi tawaran luar ini.

“Kami sayang dan hargai beliau tapi kami perlu kekal dengan bajet kami. Dia tidak dedahkan nama kelab itu, tapi ada beritahu yang tawaran itu lumayan. Dengan jumlah gaji sebesar itu, kami boleh dapat dua, tiga orang pemain asing,” jelas Johan.

Jelas sekali walaupun kehilangan pemain berstatus mesin cetak gol ini bukan satu situasi yang ideal buat kelab, ia merupakan satu-satunya jalan penyelesaian yang boleh diambil Gergasi Merah.

Ifedayo pertama kali tiba di Malaysia pada pertengahan musim 2017 bersama Felda United. Pada pertengahan musim berikutnya dia beraksi pula dengan Melaka United, sekali lagi dengan reputasi penjaring yang baik. Pada musim 2019 dia menyertai Selangor, juga pada pertengahan musim, dan terus kekal meledak.

Pada musim 2020 dia merangkul anugerah kasut emas, dan pencapaian ini diulanginya pada musim ini, di samping memecahkan rekod gol individu semusim terbanyak dengan kutipan 26 gol. Sebelum Ifedayo Olusegun dilepaskan Selangor, dia telah melakukan 43 penampilan dan menjaringkan 50 gol dalam saingan liga untuk Gergasi Merah.

Penyerang berusia 30 tahun ini berasal dari Nigeria, tetapi mulai tahun 2021 telah mendapat pasport Bahrain dan layak bermain di Malaysia di bawah kuota import Asia.

Ingin bantu kami bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.