import muda Selangor

Import muda sertai pasukan utama terlalu awal, akui Feichtenbeiner

Biarpun Gergasi Merah dapat memberi minit perlawanan kepada ramai pemain muda pada musim ini, ketua jurulatih dan pengarah sukan Michael Feichtenbeiner mendedahkan yang pemain-pemain import muda Selangor FC terpaksa diturunkan bersama pasukan utama terlalu awal, atas satu sebab yang tidak dapat dielakkan.

Kredit foto Selangor FC

Dalam sebuah temubual yang dianjurkan oleh kelab, Feichtenbeiner menyatakan yang punca utama pasukan utama sekadar menamatkan saingan Liga Super di tangga kelima dan hanya sampai ke suku akhir Piala Malaysia musim ini adalah kecederaan pemain.

“Sebelum musim bermula, perancangan kami adalah membariskan campuran pemain senior asing dan tempatan, dengan pemain-pemain muda dari Selangor 2 sebagai ‘back-up’. Pemain-pemain muda ini akan didedahkan sedikit demi sedikit kepada cabaran di liga tertinggi, ini perancangan awalnya.

“Tapi dari hari pertama, perlawanan menentang Sri Pahang, hinggalah ke suku akhir Piala Malaysia kedua menentang Kuala Lumpur City minggu lalu, kami tak pernah dapat menurunkan kesebelasan utama yang kami kehendaki. Sentiasa ada satu, dua, kadang-kadang sampai lima, pemain yang tiada dan pada saya, ini merupakan masalah utama pasukan utama musim ini. Semua pasukan hadapi masalah kecederaan, malangnya ketiadaan pemain-pemain senior kami adalah jangka panjang. Maksud saya adalah R. Dinesh, Halim Saari, Brendan Gan, Shahrel Fikri dan import-import [senior].

“Dalam banyak perlawanan kami terpaksa menurunkan sehingga enam, tujuh pemain yang baru saja dinaikkan dari pasukan simpanan dan ini menjadikan pasukan tidak seimbang. Tidak mustahil kalau hanya dua, tiga pemain muda bermain di samping pemain berpengalaman kerana mereka memerlukan bimbingan dan kepimpinan. Ini masalah sebenarnya, tapi kami tak mahu menyatakannya setiap minggu kerana orang akan kata kami kuat beri alasan,” jawabnya kepada soalan yang diajukan Merah Kuning 24/7.

Menurut pengendali dari Jerman ini, masalah ini menyebabkan pemain-pemain asing pasukan simpanan terpaksa menggalas tanggungjawab bermain secara kerap untuk pasukan utama.

Pada awal musim, pertahanan kiri Jordan Ayimbila dan ‘midfielder’ Hein Htet Aung mula diturunkan, manakala Alex Agyarkwa dan George Attram mula mendapat tempat dalam saingan Piala Malaysia.

Di samping itu, bekas pemain-pemain tempatan Selangor 2 Sharul Nazeem diangkat ke posisi pemain utama bermula dalam saingan liga, dan Shivan Pillay dari saingan piala.

“Ini kali pertama mereka (Jordan, Alex dan George) keluar dari benua Afrika, tapi hanya selepas dua bulan mereka sudah ada dalam pasukan utama dengan jangkaan yang tinggi. Ini cabaran yang maha besar buat mereka, ia terlalu awal dan tidak sepatutnya dilakukan. Tetapi kami tiada pilihan lain kerana kecederaan kepada pemain-pemain berpengalaman tadi.

“Pada asalnya, perancangan kami buat pemain-pemain import muda Selangor FC adalah supaya mereka bermain selama dua tahun dengan pasukan simpanan, dan jika mereka cukup bagus setelah mencecah usia 21 tahun, barulah mereka dinaikkan pangkat ke pasukan utama. Ini supaya kami ada pemain import pasukan utama yang lebih muda dan telah dapat menyesuaikan diri dengan gaya permainan Selangor,” jelas beliau.

Bagaimanapun, Feichtenbeiner enggan meletakkan tanggungjawab musim 2021 yang suram ke atas pemain-pemain import senior yang di bawa masuk musim ini, dan berkeras bahawa kekuatan Gergasi Merah harus bertunjangkan bintang-bintang tempatan.

“Pemain-pemain asing penting bagi memperkuatkan pasukan tetapi saya sebagai jurulatih tak suka membeza-bezakan pemain luar dengan pemain tempatan. Sentimen kebiasaan di negara ini adalah pemain import membawa impak, tapi ini hanya merendah-rendahkan pemain tempatan. Ini sesuatu yang saya selalu dengan dari jurulatih lain, media, penyokong dan pada saya ia salah satu masalah terbesar dalam bolasepak Malaysia.

“…Pemain seperti Shahrel, atau Brendan, atau Halim, mereka juga pemain bagus yang berpengalaman. Kita harus percayakan mereka dan kerah mereka tidak kira pemain asing, tempatan, muda, tua, Melayu, Cina, India,” ujarnya.

Ingin bantu kami bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.