Trust the process tak

Ini bukan lagi musim ‘trust the process’ untuk Selangor

Entah macamana puncanya Selangor FC boleh dikaitkan dengan ungkapan ‘Trust the process’, yang dalam konteks bolasepak membawa maksud pembaharuan memakan masa untuk dituai hasilnya. Namun setelah tiga musim penuh Gergasi Merah berada di bawah pentadbiran semasa, perlu dikatakan yang sentimen ‘Trust the process‘ tak lagi relevan untuk musim ini. Sebaliknya, tahun 2022 merupakan musim di mana pasukan utama Selangor wajib ‘show the results‘ (menunjukkan hasil).

Biarpun pada musim 2019 di bawah ketua jurulatih B. Satiananthan Selangor menunjukkan bibit-bibit positif dengan menamatkan saingan Liga Super Malaysia di tangga ketiga dan tiba di peringkat separuh akhir Piala Malaysia, kejuaraan atau kelayakan ke pertandingan peringkat Asia masih tidak dikecapi. Musim seterusnya Gergasi sekadar di tempat kelima manakala Piala Malaysia dibatalkan. Pelantikan Karsten Neitzel sebagai bos bagi musim 2021 gagal menghasilkan peningkatan, sebaliknya Selangor sekali lagi menamatkan liga di tangga kelima dan terkandas di suku akhir Piala Malaysia.

Bagi musim 2022, pengarah sukan kelab Michael Feichtenbeiner diberi tanggungjawab sebagai ketua jurulatih pasukan utama, dan sudah pasti keputusan ini ibarat peluang terakhir bagi DNA Selangor yang beliau sendiri rangka untuk dibuktikan keberkesanannya.

Walaupun ini merupakan musim pertama pengendali dari Jerman itu sebagai ketua jurulatih rasmi pasukan utama, sudah dua tahun kelab ini beroperasi di atas padang mengikut perancangannya, dan kami kira tempoh masa ini sudah cukup untuk mana-mana kelab menunjukkan peningkatan prestasi.

Dan musim ini perancangan Michael harus menghasilkan kemenangan semata-mata, tiada hasil lain. Sudah berulang kali CEO kelab Johan Kamal Hamidon menyatakan mahu layak ke saingan Asia kali ini, jadi inilah sasaran yang harus kita pegang sebagai penanda aras, manakala kemenangan piala pula sebagai bonus.

Alasan-alasan biasa selepas seri atau kalah seperti menggunakan ramai pemain muda, ramai pemain tercedera dan kepenatan tidak lagi boleh diterima penyokong. Ini kerana pemain-pemain yang dahulunya mentah kini sudah matang, ketua jabatan perubatan sepenuh masa sudah pun dilantik, manakala program-program dan kelengkapan latihan telah pun ditambah baik.

Pemain-pemain juga perlu ditekankan dengan jangkaan tinggi musim ini. Mereka harus bermain baik dan membawa kemenangan, tidak kira apa cabaran atau kesulitan yang dihadapi. Ini bukan lagi musim untuk main-main. Jangan kerana ada keputusan barisan kejurulatihan atau pengurusan yang tidak digemari, anda khianati aksi di atas padang, sedangkan masih diberi latihan dan dibayar gaji secara tetap.

Dari satu sisi lain, ‘results‘ yang wajib mereka tunjukkan ini adalah bagi membuktikan bahawa usaha-usaha pemodenan kelab dan pelaburan yang dijalankan di bawah pentadbiran pengerusi, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin bukan sesuatu yang sia-sia. Jika Selangor masih gagal musim ini, ia seolah-olah membuktikan yang bolasepak Malaysia tidak memerlukan pusat latihan yang lengkap, bimbingan kejurulatihan berpengetahuan, sokongan sains sukan dan perubatan moden, pengurusan kewangan dan pencarian dana secara serius, dan juga pembayaran gaji tepat pada masanya. Apatah lagi penyokong dapat lihat ada pasukan yang masih menjalankan latihan menggunakan padang stadium, tetapi berjaya menjuarai Piala Malaysia dan layak ke Piala AFC!

Jika musim 2022 sekali lagi tamat mengecewakan, sentimen ‘Trust the process‘ tak boleh disambung semusim lagi untuk Selangor, dan hanya ada satu tindakan yang boleh diambil. Selepas pemain-pemain ditukar (dan pemain import dikambing hitamkan secara umum), ketua jurulatih dipecat dan digantikan, apa yang tinggal untuk dilakukan adalah perubahan di pihak pengurusan pula. Mereka harus mengakui bahawa niat yang baik, kerja keras memasarkan pasukan serta mendapatkan penajaan, dan teori-teori pengurusan bolasepak pun belum tentu cukup untuk menjalankan kerja-kerja menguruskan kelab bolasepak di Malaysia, dan mengundur diri untuk memberi laluan kepada mereka yang lebih layak (yang perlu penulis akui tidak ramai di negara ini).

Namun pendapat ini bukan disuarakan untuk menyatakan jangkaan satu lagi musim suram. Aksi-aksi persahabatan pra-musim yang dilalui anak-anak buah Michael baru-baru ini menampilkan sisi baru Selangor. Bukan sahaja dari segi keputusan, tetapi secara kesimpulannya gaya permainan mereka juga lebih ‘fluid’ dan tidak lagi tak tentu arah dan tiada ‘urgency’ seperti musim lalu.

Penyokong pastinya harap bibit-bibit positif ini dapat diterjemahkan dalam aksi rasmi pertama Gergasi Merah musim ini, menentang Seteru Lembah Kelang dan juara Piala Malaysia, Kuala Lumpur City dalam minggu pertama Liga Super, perlawanan yang boleh diibaratkan sebagai petunjuk keupayaan Selangor di bawah bimbingan Michael.

Ingin bantu Merah Kuning 24/7 bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

2 Replies to “Ini bukan lagi musim ‘trust the process’ untuk Selangor”

Leave a Reply

Your email address will not be published.