Jadual Piala Futsal AFF 2021

Jadual Piala Futsal AFF 2021 diketahui

Setelah diketahui bahawa Selangor MAC akan menyertai Piala Futsal AFF tahun ini pada 13-17 September akan datang, kita kini mengetahui pula jadual Piala Futsal AFF 2021 ini, yang akan berlangsung di Nakhon Ratchasima, Thailand.

Pasukan futsal yang mewakili Selangor FC secara rasmi dalam Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) ini akan beraksi dalam piala ini bersama sebuah lagi pasukan dari Malaysia, Pahang Rangers, dan akan berhadapan dengan Port Futsal Club sebagai tuan rumah dan Freefire Bluewave Chonburi, kedua-duanya dari Thailand, Mohahang All-Star FC dari Kemboja.

MAC yang juga johan edisi terbaru MPFL pada tahun 2019 akan memulakan saingan menentang Chonburi pada 13 haribulan, sebelum berhadapan Pahang keesokan harinya. Pada 15 haribulan mereka akan bertemu Port, dan akhir sekali Mohahang pada hari terakhir kejohanan. Baca jadual Piala Futsal AFF 2021 yang penuh di sini.

Menerusi laman Instagram mereka, pemain-pemain MAC dilihat giat menjalani latihan di Pusat Latihan FAS dan juga Kompleks Sukan Shah Alam.

Menurut Sukanz.com, MAC dijemput sebagai juara MPFL 2019, manakala Rangers naib juara tahun itu dijemput bagi menggantikan sebuah pasukan yang telah menarik diri.

Edisi terbaru Piala Futsal AFF berlangsung pada tahun 2019 juga di Nakhon Ratchasima, dan dijuarai Chonburi. Yang menariknya, setelah lima edisi kejohanan tahunan ini dijalankan bermula dari 2015, kelima-limanya dimenangi oleh pasukan dari Thailand. Port merupakan pasukan yang paling berjaya dalam kejohanan ini dengan tiga kejuaraan, 2015, 2016 dan 2017. Pencapaian terbaik pasukan dari Malaysia adalah tempat kedua pada edisi pertama yang dicapai Felda United. Dua tahun berikutnya, Melaka United menamatkan persaingan di tempat ketiga.

Sementara itu, masih belum ada apa-apa pengumuman dibuat oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenai penganjuran MPFL tahun ini, selepas menyatakan yang ia terpaksa ditangguhkan pada Mei disebabkan wabak Covid-19. MPFL tahun 2020 juga dibatalkan atas sebab yang sama.

Sudah pasti penyokong-penyokong Selangor mengharapkan yang MAC dapat beraksi dengan baik dalam kejohanan ini dan seterusnya mengharumkan nama Selangor di peringkat antarabangsa.

Baca juga: MPFL tak nampak bayangan, Selangor MAC bakal sertai kejohanan serantau

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.