Jadual Piala Malaysia Selangor

Selangor ketahui jadual peringkat kumpulan Piala Malaysia

Jadual Piala Malaysia Selangor FC dalam peringkat kumpulan akhirnya telah diketahui, apabila pihak penganjur Malaysian Football League (MFL) mengumumkan jadual keseluruhan peringkat kumpulan pada Isnin, 20 September.

Kredit foto utama Malaysian Football League

Menurut pengumuman MFL, anak-anak buah Karsten Neitzel akan memulakan kempen dalam Kumpulan B dengan melayani kunjungan Perak FC di Stadium MBPJ di Stadium MBPJ pada Ahad, 26 September.

Tiga hari kemudiannya, Gergasi Merah akan ke Kuala Terengganu untuk berhadapan pasukan pilihan, Terengganu FC. Namun begitu, perlawanan selepas itu hanya akan berlangsung sebulan kemudian. Ini disebabkan pasukan kebangsaan Malaysia akan menjalani perlawanan persahabatan, yang kemudiannya memerlukan pemain-pemain negara menjalani kuarantin pencegahan Covid-19 selama 14 hari.

Selangor akan kembali ke MBPJ pada Sabtu, 30 Oktober untuk berhadapan dengan pasukan bukan pasukan simpanan ketiga terbaik Liga Premier.

Lima pasukan yang akan layak ke Piala Malaysia dari divisyen dua akan hanya ditentukan selepas semua perlawanan liga diselesaikan minggu ini.

Pada 3 November, Selangor akan berkunjung ke laman pasukan Liga Premier ini pula, dalam pusingan keempat peringkat kumpulan. Empat hari berikutnya mereka akan berentap dengan Terengganu di MBPJ, sebelum mengakhiri peringkat kumpulan bertemu Perak sekali lagi, kali ini di Ipoh pula.

Jadual Piala Malaysia Selangor kali ini dilihat adil, dengan adanya masa dan ruang untuk melakukan persiapan bagi menghadapi pasukan ‘favourite’, Terengganu.

Peringkat suku akhir akan dilangsungkan pada 14 dan 18 November, separuh akhir 22 dan 26 November dan perlawanan akhir pada 30 November.

Piala Malaysia tahun ini, edisi seratus tahun pertandingan yang merupakan salah satu kejohanan bolasepak yang tertua di benua ini, turut menawarkan kelayakan automatik ke peringkat kumpulan Piala AFC 2022 kepada pasukan yang berjaya merangkul trofi. Ini disebabkan pembatalan Piala FA musim 2021.

Dalam siaran-siaran media terdahulu, MFL mengumumkan langkah keras bahawa pasukan-pasukan yang mempunyai pemain yang diuji positif Covid-19 sepanjang pertandingan ini akan kalah percuma. Ini adalah bagi mengelakkan pertandingan ini dari dianjak dan melepasi tarikh 30 November, iaitu tarikh di mana kontrak ramai pemain-pemain di Malaysia tamat bagi musim ini.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.