pertukaran strategi bantu Danial

Video: Jangan sisihkan pelajaran, pesan Chang kepada adik-adik

Walaupun semakin mendapat perhatian dalam saingan Liga Malaysia, seorang pemain Selangor FC mahu anak-anak muda untuk tidak mengabaikan pelajaran mereka dalam mengejar kejayaan dalam bidang bolasepak. Pesan Danial Asri, penyerang Merah Kuning, biarlah usaha dalam bidang akademik turut mengiringi kerja keras di atas padang.

Kredit foto Malaysian Football League

Pada minggu lalu, pemain yang berusia 21 tahun ini mewakili kelab dalam program SFC Soccer Schools Outreach di Sekolah Kebangsaan Taman Alam Megah, Shah Alam, yang berlangsung secara maya.

Pada Isnin, 11 Oktober, laman sosial kelab mendedahkan satu nasihat yang disampaikan pemain yang terkenal dengan jolokan Chang kepada pelajar-pelajar sekolah ini.

“Untuk adik-adik semua, memandangkan kamu semua masih bersekolah lagi, penting juga untuk tumpukan kepada pelajaran. Bola main juga, tapi belajar pun kena beri 100 peratus macamana kita berlatih di padang.

“Jadi [kena] bahagikan; jangan lebihkan bola saja, belajar lupa. Kena seimbangkan antara bola dan pelajaran; macamana kita [bekerja keras] berlatih di atas padang, macam itulah belajar. Bagi lebih, belajar dan bola samarata,” kata pemain yang berasal dari Rawang ini.

Pada musim ini, musim pertamanya dengan pasukan utama secara rasmi, Danial telah melakukan 22 penampilan dan menjaringkan tiga gol, satu rekod yang baik untuk pemain penyerang yang masih berstatus pemain muda. Jadi Pesan Danial Asri ini mungkin kedengaran agak mengelirukan, apabila kita mengetahui yang pemain-pemain profesional zaman ini meluangkan hampir keseluruhan mereka melakukan persiapan dan berlatih.

Hakikatnya, bolasepak moden telah mengetahui yang tidak semua anak-anak muda yang dilatih mereka dapat bekerjaya sebagai pemain profesional. Menurut satu kajian, hanya 0.012 peratus pemain muda di England dapat bermain dalam Liga Perdana Inggeris!

Jadi kelab-kelab ternama dunia telah mengubah silibus akademi mereka supaya pelatih-pelatih mereka masih dapat meluangkan masa untuk pelajaran sekolah, supaya anak-anak ini masih terjamin masa depan mereka biar pun gagal menjadi pemain profesional.

Malah ramai pemain-pemain profesional ternama kini turut berusaha mendapatkan ijazah universiti, kerana minat dan mendapat bimbingan kerjaya yang baik.

Gergasi Merah juga sedar mengenai kepentingan pelajaran, dan pemain-pemain muda mereka sentiasa digalakkan menyambung pelajaran. Baru-baru ini mereka mengumumkan yang banyak lagi pemain-pemain mereka baru memulakan pengajian di universiti-universiti tempatan.

Sudah pasti penyokong Selangor mengucapkan selamat berjaya di atas dan luar padang kepada anak-anak muda ini, dan ada baiknya adik-adik yang masih bersekolah menyematkan pesan pesan Danial Asri dalam hati, jika ingin menjadi bintang masa depan Merah Kuning.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.