Ratings Selangor lwn Kuching

Jangan takut dengan pemain import, seru Danial Asri

Penyerang Selangor FC Danial Asri dilihat salah seorang pemain yang sedang meningkat naik dalam pasukan ini.

Awal musim ini, pemain yang mesra dikenali dengan panggilan Chang ini diserap masuk ke pasukan utama dari pasukan Liga Premier, bersama-sama beberapa pemain muda lain. Dalam saingan divisyen dua musim lalu, dia muncul sebagai pemain tempatan dengan jumlah jaringan terbanyak, tujuh gol.

Danial Asri memerlukan tempoh yang agak lama untuk menemui jaring di divisyen satu, tapi tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol kedua peribadinya di Liga Super.

Gol pertamanya hanya hadir dalam perlawanan menentang Penang FC pada 31 Julai, yang merupakan kemunculan ke-15 beliau di Liga Super dengan Gergasi Merah. Gol seterusnya dijaringkan dalam dua perlawanan berikutnya, menentang sebuah lagi pasukan utara semenanjung Malaysia, Kedah Darul Aman. Gol-golnya membantu Merah Kuning menang 4-1 ke atas Penang, dan 4-2 ke atas KDA.

Dalam satu temuramah bersama penganjur liga, Malaysian Football League (MFL), pemain berumur 21 tahun ini memberikan kredit kemajuan yang ditunjukkannya kepada rakan sepasukan dan penjaring utama Selangor, Ifedayo Olusegun.

“Ifedayo memang cukup bagus dalam padang dengan telah menjaringkan 22 gol setakat ini dan banyak pengalaman serta tunjuk ajar yang saya dapat dari dia sama ada semasa latihan atau hari perlawanan.

“Dia tidak pernah marah dan sentiasa berikan sokongan kalau saya ada buat silap malah sentiasa berikan kata-kata semangat untuk saya percaya dengan cara permainan sendiri.

“Saya sangat suka dengan suasana sebegini kerana khidmat pemain muda rasa dihargai dan saya sangat berterima kasih kepada jurulatih kerana berikan peluang untuk bermain walau saya masih muda,” jelas pemain yang berasal dari Rawang ini.

Danial juga jujur menyatakan yang dia tidak mahu mensasarkan bulan dan bintang dalam musim pertamanya di Liga Super.

“Tahun lepas saya sudah menjadi penjaring terbanyak bagi pemain tempatan di Liga Super namun saya tidak meletakkan harapan yang sama di Liga Super kerana sedar sasaran itu melebihi daripada kemampuan saya buat masa ini.”

Dia turut menyatakan yang pemain-pemain tempatan tidak perlu takut dengan saingan dari pemain asing dalam skuad.

“Memang tidak dinafikan semua pasukan banyak gunakan pemain import kerana mereka lebih bagus,” ujar Danial. “Tetapi nasihat kepada adik-adik yang mungkin sekarang ini mahu serius bermain di posisi penyerang, jangan ada perasaan takut.

“Teruskan berusaha dan jangan berasa diri kita ini sangat kecil, kita tidak tahu mungkin kerja keras itu buatkan jurulatih akan nampak.

“Kita ambil pengalaman dan belajar dari pemain import kerana itu yang sebaiknya bagi memantapkan ilmu sebagai pemain yang lebih baik pada masa akan datang.”

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.