Jersi away Selangor 2022

Jersi ‘away’ Selangor 2022 dilancar sambil beri kesedaran barah

Setelah jersi tempat sendiri Selangor FC bagi musim 2022 dilancarkan untuk penjualan beberapa minggu lalu, kini tiba pula giliran jersi tempat lawan. Pada hujung minggu lalu, Gergasi Merah mengumumkan yang tarikh 4 Februari telah ditetapkan bagi pelancaran ini, dengan tarikh ini turut mempunya makna istimewa. Jersi ‘away’ Selangor 2022 dilancar pada tarikh ini bersempena dengan Hari Kesedaran Kanser Sedunia tahun ini.

Pelancaran yang akan dilangsungkan di Sunway Pyramid Convention Centre dari jam 2 petang sehingga 10 malam ini akan turut menampilkan cabutan bertuah dengan hadiah-hadiah bernilai sehingga RM10,000, sesi bertemu pemain pasukan dan juga pengumuman skuad penuh.

Namun acara ini juga mengenengahkan agenda kesedaran mengenai penyakit kanser bertemakan “Lets Cope with A Neon Hope”, dengan kerjasama pihak-pihak seperti Sunway Medical Centre, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dan Majlis Kanser Nasional (MAKNA), dan beberapa slot berkaitan telah turut dijadualkan seperti imbasan kanser.

Malah ia turut menyelitkan sesi perkongsian pengalaman peribadi oleh kapten Selangor sendiri, Brendan Gan. Beliau tahun lalu telah didiagnosis menghidap barah testis dan segera menjalani rawatan, dan kini telah kembali sihat lalu kembali menjalani latihan.

“4 Februari merupakan Hari Kanser Sedunia yang disambut setiap tahun secara rasmi di lebih 60 negara di seluruh dunia untuk meningkatkan kesedaran tentang kanser serta mendorong pencegahan, pengesanan, dan rawatannya.

“…Kelab ini amat teruja dengan semangat juang dan mentaliti positif yang ditunjukkan oleh beliau (Brendan) dan percaya bahawa ia mampu memberikan sinar harapan buat lebih ramai di luar sana.

“Oleh itu, Selangor bersama TDC, turut disertai MAKNA, NCSM dan Sunway Medical akan bekerjasama bagi menjayakan sambutan Hari Kanser Sedunia pada 4 Februari 2022. Semoga sambutan yang penuh bermakna kepada Selangor ini dapat memberikan semangat baru menggalakkan pencegahan melalui pemeriksaan awal serta kesedaran bahawa kanser boleh disembuhkan,” jelas kelab menerusi laman sosial mereka.

Penyokong-penyokong yang ingin mengikuti majlis pelancaran jersi ‘away’ Selangor 2022 dan juga acara-acara kesedaran mengenai penyakit barah boleh melakukan pendaftaran di sini, dengan 200 peserta terawal mendapat akses masuk ke dewan utama. Namun hanya mereka yang telah lengkap dua dos vaksin COVID-19 yang dibenarkan hadir.

Ingin bantu Merah Kuning 24/7 bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.