Johan jelas kenapa Mukhairi

CEO jelas kenapa Mukhairi, Harith dilepaskan ke Mongolia

Biarpun pada mulanya Selangor FC dilaporkan enggan melepaskan bintang-bintang mudanya untuk menyertai pasukan Malaysia B-23 dalam pusingan kelayakan Piala Asia B-23 di Mongolia baru-baru ini kerana khidmat mereka diperlukan dalam saingan Piala Malaysia, mereka kemudiannya akhirnya dibenarkan pergi. Kami bertanyakan kepada CEO kelab Johan Kamal Hamidon, dan Johan jelas kenapa Mukhairi dan Harith akhirnya dibenarkan ke Mongolia.

Kredit foto Persatuan Bolasepak Malaysia

Senarai akhir yang dipanggil ketua jurulatih Malaysia B-23 Brad Maloney bagi pusingan kelayakan itu menyertakan lapan pemain muda kelab iaitu Mukhairi Ajmal, Zikri Khalili, Harith Haiqal, Sikh Izhan, Azrin Afiq, Faiz Amer, Fahmi Daniel dan Saravanan Thirumurugan.

Namun kelab pada mulanya enggan melepaskan Mukhairi dan Harith atas sebab memerlukan khidmat mereka dan pusingan kelayakan itu dijalankan di luar jendela antarabangsa FIFA, dan hanya merelakan pemergian mereka setelah rundingan dijalankan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Di Mongolia, anak-anak muda ini berjaya membawa kebanggaan kepada negara apabila membawa pasukan layak ke peringkat akhir tahun depan di Uzbekistan, menerusi kemenangan 1-0 ke atas Laos dan Mongolia dan seri 0-0 dengan seteru serantau Thailand. Mukhairi, Zikri, Harith dan Azrin terutamanya bermain dalam ketiga-tiga perlawanan dengan Mukhairi sebagai ketua pasukan.

Mereka telah pun pulang ke Malaysia bersama-sama pasukan, namun kini sedang menjalani kuarantin pemantauan Covid-19 selama seminggu sebelum boleh kembali ke pangkuan kelab.

Bila dihubungi Merah Kuning 24/7 pada Rabu lalu, Johan jelas kenapa Mukhairi dan Harith akhirnya dilepaskan biarpun ada keengganan pada awal-awalnya.

“Kedua-dua mereka merupakan pemain yang penting bagi Selangor dan mereka tahu betapa pentingnya kempen Piala Malaysia buat kelab. Kami mahu capai sesuatu.

“Namun pada masa yang sama kami ada hubungan yang baik dengan FAM dan jurulatih-jurulatih mereka, kami berhubung dengan mereka hampir setiap minggu. Kami hormati mereka dan faham yang mereka sasarkan kelayakan ke Piala Asia B-23, jadi kami bekerjasama untuk senangkan keadaan, contohnya dengan memendekkan tempoh kuarantin selepas pulang ke Malaysia ke tujuh hari [dari empat belas hari]. Selepas itu barulah kami lepaskan pemain-pemain tadi,” jelas Johan.

Bintang-bintang muda Selangor ini dijangka tidak sempat beraksi dalam baki dua perlawanan kumpulan kerana perlu menghabiskan tempoh kuarantin, namun dengan Gergasi telah berjaya mengesahkan kelayakan ke saingan suku akhir, mereka masih ada peluang beraksi dalam peringkat kalah mati.

Ingin bantu kami bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.