Kapten Jordan sertai Selangor FC

RASMI: Kapten Jordan sertai Selangor FC

Setelah hampir seminggu agak senyap dari segi pengumuman perpindahan dan penyertaan pemain, akhirnya pada Jumaat, 24 Disember ada pengumuman terbaru dilakukan Gergasi Merah. Secara rasmi, Baha’ Abdelrahman iaitu pemain tengah dan kapten Jordan sertai Selangor FC bagi musim 2022.

Kredit foto Persatuan Bolasepak Jordan

Baha’ pada tahun ini telah beraksi dalam Liga Profesional Jordan, di samping menjadi orang kuat pasukan Jordan dalam pusingan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia dan juga Piala Arab baru-baru ini.

Walaupun usianya bakal mencecah 35 tahun dua minggu lagi, tahap kecergasan dan peranan Baha’ dilihat masih mantap, dan sudah pasti ini ciri-ciri yang ditagih Selangor. Dia masih aktif beraksi dengan Jordan, dan dalam Piala Arab baru-baru ini membantu mereka layak sejauh peringkat suku akhir sebelum tumpas 3-1 ke atas Mesir. Dia dilihat mampu beraksi sehingga lewat perlawanan sebagai ketua pasukan, malah sempat menjaringkan satu gol menentang Palestin.

Dia dipetik berkata:

“Saya gembira dapat menyertai kelab sebesar Selangor FC. Saya akan datang jauh dari Jordan dan tidak sabar untuk bermain dalam liga Malaysia. Kami akan cuba sedaya upaya untuk meletakkan Selangor kembali mencabar di tangga teratas seperti mana ia sepatutnya.”

Di samping kapten Jordan sertai Selangor, seorang lagi pemain Jordan, Yazan Al-Arab, 25 tahun telah diumumkan hujung minggu lalu. Yazan turut beraksi dalam Piala Arab edisi kesepuluh dan mereka berdua turut beraksi dalam kemenangan 4-0 persahabatan ke atas Malaysia pada 6 Oktober lalu.

Walaupun usia Baha’ mungkin dilihat lanjut, tetapi itu bukan masalah bagi ketua jurulatih pasukan utama dan pengarah sukan Selangor, Michael Feichtenbeiner

“Berdasarkan musim lalu, saya fikir kami memerlukan seorang pemimpin di bahagian tengah, yang boleh bermain posisi nombor enam, sebagai pemain yang boleh mengatur bahagian tengah kami di pertahanan, dan juga bantu pasukan dalam serangan dengan pengalamannya.

“Saya sangat kagum dengan persembahan Baha’, terutama pada usia 34 tahun. Namun bagi saya, usianya tidak relevan, kerana yang lebih penting, pengalaman luas yang telah diperolehnya, di samping memiliki tahap kecergasan yang masih tinggi. Beliau juga telah bermain dalam semua perlawanan antarabangsa dengan Jordan (dalam Piala Arab FIFA).

“Beliau telah mengetuai pasukan Jordan dalam Piala Arab di Qatar dan menjadi kapten pasukan ketika menentang Mesir pada peringkat suku akhir dan juga bermain selama 120 minit, yang jelas menunjukkan bahawa beliau masih cergas.”

Jurulatih dari Jerman itu juga berkata, “Saya sangat gembira dengan kemasukan dua pemain ini (termasuk Yazan) dalam pasukan ini untuk musim hadapan. Mereka sangat gembira untuk menyertai kelab ini dan berhasrat untuk membawa suatu kelainan kepada bola sepak Malaysia.”

Pengumuman ini menyaksikan hanya tinggal satu slot pemain asing pasukan utama yang perlu diisi, iaitu posisi penyerang. Di samping dua orang bintang Jordan ini, ada pertahanan Jerman Tim Heubach dan pemain utiliti Singapura, Safuwan Baharudin.

Ingin bantu Merah Kuning 24/7 bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.