Karsten jelas kenapa Zikri

Karsten jelas kenapa Zikri jarang dapat peluang dalam pasukan utama

Pemain pertahanan muda Selangor FC, Zikri Khalili kini dilihat mencuri tumpuan bersama pasukan Malaysia B-23 yang sedang beraksi dalam saingan kelayakan Piala Asia B-23 AFC 2022 di Mongolia. Sudah pasti ia turut mengundang pertanyaan penyokong mengapa pemain berusia 19 tahun ini hanya banyak memanaskan bangku simpanan musim ini, dan kami meminta ketua jurulatih Karsten jelas kenapa Zikri tidak mendapat tempat dalam pasukan utama.

Kredit foto Selangor FC

Biarpun anak kelahiran Pahang ini merupakan antara pemain pasukan simpanan Selangor yang terawal mendapat peluang beraksi di Liga Super musim lalu, pada musim ini dia hanya melakukan enam penampilan biar pun telah dinaikkan pangkat secara kekal. Lebih menghairankan, dia berada di bangku simpanan tanpa dipanggil masuk ke padang bagi 13 perlawanan Liga Super.

Sementara itu, Karsten Neitzel mengatakan yang dia tidak gusar dengan ketiadaan Zikri dan tujuh lagi pemain muda Selangor yang kini berada di Mongolia bersama pasukan muda kebangsaan.

Mereka adalah pemain utama pasukan utama Mukhairi Ajmal, ahli-ahli pasukan utama Zikri, Harith Haiqal dan Sikh Izhan Nazrel, dan juga pemain-pemain Selangor 2 Azrin Afiq, Faiz Amer, Fahmi Daniel dan Saravanan Thirumurugan. Malah Ajmal turut dilantik sebagai ketua pasukan, manakala Zikri dan Harith sebagai timbalan ketua.

“Sudah pasti kami memerlukan khidmat pemain-pemain seperti Ajmal, Zikri dan Harith dalam Piala Malaysia nanti kerana mereka ada pengalaman bermain dalam Liga Super. Tapi saya turut gembira yang mereka berada dengan Malaysia B-23 di Mongolia.

“Saya tak akan bersungut mengenainya, malah kami bangga yang pemain-pemain kami menyertai pasukan kebangsaan B-23,” jelasnya kepada penulis pada Sabtu lalu, 23 Oktober.

Bila diminta supaya Karsten jelas kenapa graduan Akademi Mokhtar Dahari ini kerap disisihkan di sebalik potensi yang ditunjukkannya bersama Harimau Muda, pelatih dari Jerman ini memberi bayangan yang ini adalah disebabkan Zikri menunjukkan prestasi kurang konsisten.

“Tiap-tiap pemain kelab ini, termasuklah Zikri, mendapat peluang untuk berada dalam kesebelasan permulaan. Dia dapat bermain dengan kerap pada permulaan kempen Liga Super, namun selepas itu kembali bermain dalam Liga Premier. Bagus untuk pemain-pemain muda kami dapat bermain dalam divisyen dua jika mereka tak dapat bermain dalam Liga Super.

“Semua pemain ada ‘kisah’ mereka sendiri. Dia masuk dalam perlawanan liga pertama kami musim ini, menentang Sri Pahang, sebagai pemain gantian. Namun selepas itu, normal bagi pemain muda yang ada naik dan turun mereka. Jadi dia diberi peluang bermain semula dalam divisyen dua dan dia bermain baik. Dia sentiasa komited dalam latihan, belajar dari pemain-pemain pengalaman

“Zikri merupakan pemain pintar yang faham mengenai situasinya dan saya berharap dia dapat kembali membantu pasukan dalam saingan Piala Malaysia,” ujarnya.

Ingin bantu kami bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.