Bintang Selangor FC kekal

Karsten kagum dengan persembahan pemain, sumbangan penyokong

Selepas membawa anak-anak buahnya membenam Kuching City 5-1 dalam perlawanan ketiga Kumpulan B Piala Malaysia, ketua jurulatih Selangor FC Karsten Neitzel kagum dengan persembahan yang ditunjukkan mereka dalam persembahan itu.

Kredit foto Selangor FC

Penyerang Danial Asri memberikan persembahan lima bintang untuk mengutip dua gol (60′, 80′) dan terlibat dalam gol-gol yang dijaringkan Hein Htet Aung (1′) dan Safuwan Baharudin (p. 66′). Gol terakhir pasukan tuan rumah di Stadium MBPJ dijaringkan oleh Sean Selvaraj (90+4′), manakala gol tunggal pasukan pelawat dijaringkan oleh Michael Ijezie (p. 11′)

Bercakap kepada media selepas perlawanan pada malam Sabtu, 30 Oktober, pengendali dari Jerman itu menyatakan yang pasukannya melakukan apa yang dirancang, biarpun ada mengalami sedikit kesulitan pada separuh masa pertama.

“Selepas dua perlawanan persahabatan [dalam tempoh rehat pertandingan], saya ada rasa positif kerana mereka bermain baik dalam kedua-dua perlawanan ini, menentang Petaling Jaya City (menang 1-0) dan Sarawak United (menang 2-0). Malam ini mereka bermain sama baik seperti dalam aksi persahabatan terutamanya selepas lawan menyamakan kedudukan. Mereka mengekalkan gaya permainan yang sama, tidak gugup dan membuatkan saya sedikit kagum.

“Pada separuh masa pertama mereka membuat hantaran-hantaran jauh yang tidak perlu dan membuang bola, dan berada dalam situasi di mana lima pemain ada di barisan serangan dan lima lagi bertahan. Ini tidak bagus, menyebabkan tidak banyak percubaan dapat dilakukan. Kami berbincang mengenainya pada waktu rehat dan berjaya memperbetulkan keadaan ini.

“Saya menurunkan ramai pemain muda, jadi tahniah kepada mereka, staf dan pasukan. Kami telah mendapat tiga lagi mata tapi kini kami harus segera membuat pemulihan dan menumpukan perhatian kepada perlawanan seterusnya,” jelas jurulatih berusia 53 tahun ini.

Karsten juga menjelaskan mengenai ketiadaan bintang, Ifedayo Olusegun yang tidak diturunkan. Ini merupakan perlawanan pertama musim ini pemenang dua kasut emas Liga Super ini tidak diturunkan, malah lebih menakjubkan lagi, ini mungkin juga kali pertama sejak perlawanan pertamanya dengan Selangor pada Mei 2019 dia tidak berada dalam kesebelasan utama.

“Ifedayo ada kecederaan ringan dan kami tak mahu ambil risiko memburukkan lagi keadaan. Harapnya dia dapat kembali Rabu ini (menentang Kuching di Larkin) atau Ahad (menentang Terengganu FC.”

Satu lagi perkara yang membuatkan Karsten Neitzel kagum adalah sumbangan penyokong Gergasi Merah dalam menggalakkan lagi persembahan pasukannya, setelah mereka dapat kembali ke stadium buat kali pertama sejak awal musim.

“Mereka (penyokong) begitu cemerlang malam ini bagi kami. Kehadiran penyokong di stadium memberikan perasaan yang berbeza bagi pasukan, staf dan saya. Contohnya reaksi yang mereka berikan apabila Kuching mendapat penalti, memang cemerlang.”

Ingin bantu kami bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.