Karsten Neitzel sesali peluang

Kalle persoal anak buah: Kenapa tak jaringkan banyak gol lagi?

Ketua jurulatih Selangor FC Karsten Neitzel mengakui tidak berpuas hati dengan kualiti persembahan anak-anak buahnya dalam kemenangan 3-0 mereka ke atas Perak FC, pada Sabtu 21 Ogos 2021.

Kemenangan di Stadium Perak itu merupakan kemenangan kesembilan Gergasi Merah dalam Liga Super musim ini, dan menyaksikan mereka melonjak ke tangga ketiga buat sementara waktu.

Karsten Neitzel yang turut dikenali sebagai Kalle oleh penyokong-penyokong Selangor memberikan penjelasan jujurnya dalam sidang media pasca-perlawanan.

“Mudah saja; pasukan saya tidak bermain baik terutamanya dalam 30 minit pertama tetapi masih mengutip mata penuh. Mereka tidak dapat menguasai perlawanan dan bermain ‘senang’, dan juga kehilangan bola sambil lewa.

“Gol pertama mengubah keadaan, tetapi kenapa mereka tak jaringkan lebih banyak gol dalam separuh masa kedua? Mereka seharusnya bermain dengan lebih baik, tapi pengakhirannya kami memenangi perlawanan. Apa yang penting adalah tiga mata,” katanya.

Namun begitu, pengendali dari Jerman ini mengakui ancaman yang masih diberikan Perak, di sebalik posisi semasa mereka di zon penyingkiran.

“Banyak perlawanan dalam liga ini berlangsung dengan sengit. Kalau lihat dari jaringan gol, kemenangan kami nampak mudah saja, tapi apa yang berlaku atas padang tidak begitu mudah.

“Sudah pasti, Perak juga bahaya melalui ancaman Sergio Aguero dan Nana Pokku dan dari segi ini, saya lega yang pasukan saya tidak dibolosi. Tambahan pula, ini kemenangan kami yang keempat berturut-turut,” tambah beliau.

Kini, Karsten berhasrat merakam kemenangan kelima berturut-turut bagi memperbaiki kedudukan mereka.

“Kami sekarang berada di tempat ketiga,” jelas Karsten. “Saya tahu Kedah (KDA FC) kurang jumlah perlawanan, kami ada baki tiga perlawanan dalam liga. Sembilan mata itu tidak mustahil dan kami menumpukan perhatian kami terhadap perlawanan seterusnya menentang Melaka United.

“Persediaan harus dilakukan dengan baik dan kami mahukan tiga lagi mata penuh. Kami mahu tamatkan saingan liga setinggi yang boleh dan kami hanya boleh ubah persembahan kami sendiri, dan bukan permainan pasukan-pasukan lain.”

Perlawanan menentang Melaka United akan berlangsung pada Sabtu, 28 Ogos di Stadium Petaling Jaya.

Baca juga: Buff santai dapat MOTM menentang Perak

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.