Karsten Neitzel sesali peluang

Karsten sesali peluang awal permainan dipersiakan

Selangor FC akhirnya ditunjukkan jalan keluar dari Piala Malaysia musim ini setelah tumpas 1-0 kepada Kuala Lumpur City (KLC) dalam pertembungan suku akhir kedua mereka pada Khamis, 18 November. Keputusan itu menjadikan agregat 3-0, dan ketua jurulatih Gergasi Merah Karsten Neitzel sesali sebuah peluang yang gagal dimanfaatkan pasukannya di awal perlawanan.

Kredit foto liga3-online.de

Gol minit ke-50 penyerang pasukan tuan rumah Romel Morales merupakan satu-satunya jaringan perlawanan ini, namun seawal minit ketiga Selangor mempunyai peluang untuk merapatkan jurang agregat.

Hein Htet Aung mendapat ‘through pass’ baik dari Ifedayo Olusegun, namun sepakannya hanya mengenai tiang gol sebelum keluar. Selepas itu anak-anak buah Bojan Hodak tersedar dan berjaya mengunci barisan serangan seteru Lembah Klang mereka sehingga perlawanan tamat.

“Kami bermula baik dalam kedua-dua separuh masa malah hampir dapat gol di awal permainan. Kadang kala kita hanya memerlukan satu gol untuk mengubah permainan, tetapi ini tidak berlaku.

Saya pastinya kecewa tetapi saya tak mahu salahkan pemain kerana mereka buat apa yang termampu,” jelas Karsten selepas perlawanan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

Kini apa yang tinggal adalah merancang untuk musim hadapan sedang tahun 2021 berbaki hanya sebulan lebih.

“Dalam beberapa hari seterusnya kami akan luangkan masa untuk nilai persembahan pasukan sepanjang musim secara serius, dan kami akan bangkit semula. Kami sentiasa bangkit melawan semula.”

Pengendali dari Jerman ini bagaimanapun enggan menjelaskan lebih lanjut mengenai desas-desus perpindahan pemain-pemainnya seperti Ifedayo, Syahmi Safari, Tim Heubach dan Manuel Konrad apabila ditanya.

“Saya pun tak tahu, nampaknya awak yang lebih tahu dari saya.”

Di bawah kendaliannya musim ini, Gergasi Merah sekadar menamatkan saingan Liga Super di tangga kelima dan tiba ke peringkat suku akhir Piala Malaysia. Pasukan juga mencatatkan 14 kemenangan, enam seri dan 10 kekalahan dari keseluruhan 30 perlawanan. Karsten juga dikhabarkan mempunyai baki kontrak sekurang-kurangnya semusim lagi bersama Selangor.

Ingin bantu kami bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.